Hidup susah buatkan Faridah bertekad untuk berjaya!

Dapatkan secara percuma

Dapatkan buku 100 Usahawan Jutawan : Satu Misi Bantu The Nation dengan mendaftar ke Wanita Bangkit Berniaga sekarang!

“Sampai nak makan dengan keluarga pun lauk tak ada, jadi mak kata kita pergi belakang rumah la tengak mana tahu ada ayam bertelur. Kalau ada telur ayam, dapatlah kami adik beradik makan walaupun hanya berkongsi sebiji telur ayam.”

“Saya tidak akan lupa kenangan ini sampai bila-bila,” kata Faridah Hanom Samsudin membuka kisah kehidupannya di kampung satu ketika dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Zara Awliya (M) Sdn Bhd itu berkata, kesukaran hidup yang ditempuhi keluarganya telah menjadi satu titik perubahan kepadanya yang memasang tekad untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Saya rasa saya perlu lakukan sesuatu dan saya tak boleh duduk diam begitu sahaja. Kalau tidak, hidup keluarga saya tidak akan berubah,” katanya.

Bercerita lanjut tentang keluarganya, ingatannya ujarnya masih segar ketika menjalani kehidupan di kampung yang serba kekurangan sehingga hendak membeli ubat nyamuk pun mereka sekeluarga tidak mampu.

“Kita kalau duduk di kampung, nyamuk memang banyak. Ubat nyamuk pula tak ada, duit masa itu hanya ada 80 sen”.

“Mak tanya ada tak ubat nyamuk yang kecil jual kat kedai? Saya menggeleng kepala sebab saya pun tak tahu ada atau tidak.”

“Bayangkan, masa tu kami nak beli ubat nyamuk pun kami tak mampu. Jadi saya cakap dengan diri sendiri. Eh! Aku ni sebagai kakak tak boleh nak buat sesuatu ke? Saya masa tu rasa macam tak guna sangat sebab saya tak boleh nak tolong keluarga,” jelasnya.

Semasa beliau sudah memasuki alam pekerjaan dan bekerja sebagai Pereka Bentuk Grafik di Ibu Pejabat SIRIM dekat Shah Alam, keinginannya untuk membantu keluarga keluar daripada kemiskinan hidup tidak pernah terpadam dalam sanubarinya.

Itu menyebabkan beliau tidak pernah berdiam diri tetapi sentiasa mencari ruang dan peluang bagi menambah pendapatan agar usahanya itu dapat mengubah kehidupan keluarganya.

“Walaupun saya telah bekerja di SIRIM, tapi sebab gaji tak besar sangat, macam-macam kerja separuh masa saya buat semata-mata nak cari wang lebih. Mula-mula tu saya buat dropship.”

“Kemudian tu saya jadi ejen menjual produk penjagaan kulit sebab bisnes tu tak guna modal yang banyak. Sambil-sambil tu saya jual tudung Fareeda serta kain pasang,” katanya yang mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak 14 tahun lalu.

Setelah lima tahun beliau berusaha mencari pendapatan dengan menjual produk-produk keluaran usahawan lain, beliau akhirnya memperkenalkan jenamanya sendiri iaitu Zara Awliya secara kecil-kecilan, bermula dari rumah pangsa yang didiaminya,” katanya.

“Saya jalankan bisnes Zara Awliya pada tahun 2012. Masa tu saya jual telekung dan jubah yang saya beli borong daripada pembekal di Jalan Kenanga. Perniagaan saya tu berjalan selama kira-kira tiga tahun,” tambahnya.

Pada suatu hari dalam tahun 2015, seorang kenalan mencadangkan kepadanya agar menyertai program RichWorks. Tanpa banyak soal, Faridah menurut sahaja cadangan itu kerana beliau sedar sudah tiba masa untuk dia mendapatkan bantuan profesional bagi mengembangkan perniagaan yang dibinanya.

Program pertama yang disertainya ialah Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) 2015 dan selepas program itu, beliau berasa begitu yakin bahawa perniagaannya boleh menjadi maju. Beliau nekad untuk melepaskan kerjaya tetapnya di SIRIM.

“Saya nekad untuk berhenti kerja. Selepas itu, saya menjadi peniaga secara sepenuh masa. Saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada produk dan kekal fokus menjual telekung, jubah dan pakaian muslimah yang lain,” katanya.

Dua tahun kemudian, Faridah sekali lagi menyertai IMKK, cuma kali ini kehadirannya adalah sebagai seorang usahawan wanita sepenuh masa. Faridah agak agresif kali ini dan terus menambah ilmu dengan menyertai program-program lain seperti Zero Kos Marketing (ZKM) dan Millionaire Marketing Mastery (MMM).

“Dulu masa saya tidak ada ilmu perniagaan, macam-macam perkara yang saya buat untuk naikkan perniagaan saya. Tetapi hasil jualan masih tidak meningkat. Apabila saya menyertai dua program RichWorks iaitu ZKM dan MMM, perubahan yang ketara ialah apabila jualan saya boleh meningkat dan mencecah sehingga RM300 ribu,” ujar Faridah.
Hanya setahun selepas itu pula katanya, dengan teknik pemasaran yang betul, jualan Zara Awliya meningkat lagi sehingga empat kali ganda dan mencecah jutaan ringgit berbanding tahun sebelumnya.

Faridah bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas rezeki tersebut dan turut gembira kerana beliau akhirnya mampu menghantar ibu dan ayahnya berangkat ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah.

Pada tahun 2019, Faridah memberanikan dirinya untuk menyertai program Titan dan pada tahun itu juga, pasukannya sudah bertambah kepada tujuh orang kakitangan.

“Perniagaan saya semakin berkembang maju, rezeki juga semakin murah. Saya sangat bersyukur dapat membelikan mak dan abah kereta baharu. Hasil jualan yang mencapai RM1.46 juta membolehkan saya merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, pada ketika Faridah sedang menikmati perubahan hidup yang semakin mewah, beliau dan perniagaannya diuji dengan pandemik Covid-19. Virus kejam itu bukan sahaja melanda dunia, malah seluruh Malaysia. Tahun 2020 menjadi titik hitam buat warga dunia termasuk di negara ini.

Ramai yang hilang pekerjaan. Musibah yang melanda itu telah menyebabkan kadar kemiskinan di seluruh dunia kian meningkat. Negara ini tidak terkecuali, begitu ramai rakyat Malaysia yang jatuh ke dalam kategori B40 dan golongan asnaf.

Keputusan Kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara tiba-tiba telah mengubah landskap negara ini. Kalau dulu ibu kota Kuala Lumpur sibuk dengan manusia yang bergerak ke sana, ke mari, tetapi setelah itu kota metropolitan tersebut menjadi lengang dan kosong.

Faridah sebagai usahawan turut terjejas. Namun, wanita berhati lembut dan mulia itu, tidak membiarkan pandemik yang melanda dunia melumpuhkan hatinya. Beliau terus berusaha memperjuangkan perniagaannya, tetapi dalam masa sama turut menyumbang kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Apa yang dilakukannya ialah dia mewujudkan bank makanan. Faridah tahu dan sedar bahawa ramai rakyat di luar sana yang terputus bekalan makanan kerana ketua keluarga mungkin telah kehilangan kerja. Akhirnya, keluarga mereka terumbang-ambing.

Ramai yang mengalirkan air mata kerana kedaifan hidup, mengenang betapa susahnya hendak bernafas di bumi Allah ini. Ramai juga yang bergelar yatim piatu kerana kehilangan ibu bapa secara mendadak akibat Covid-19.

“Saya tidak boleh duduk diam sahaja. Saya mengerti apa erti lapar kerana saya juga pernah merasainya. Inisiatif saya mewujudkan bank makanan ini sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang terkesan akibat pandemik,” jelasnya.

Mungkin juga budi yang ditabur kepada masyarakat ada rahmatnya, rezeki Faridah semakin murah. Allah melimpahkan beliau dengan pendapatan yang bukan sedikit, tetapi mencecah sehingga RM2.54 juta.

Jenama Zara Awliya juga semakin popular sehingga mendapat perhatian sebuah stesen televisyen swasta yang mahu menemu bual Faridah demi memberi motivasi kepada para usahawan yang lain.

Pada tahun 2021, perniagaan Zara Awliya semakin berkembang maju dan kini sudah berpindah ke sebuah bangunan tiga tingkat di Shah Alam dengan jumlah kakitangan seramai 21 orang.

Faridah gembira kerana rezeki yang Allah SWT limpahkan kepadanya dapat dikongsinya dengan dropshippers Zara Awliya, sehingga ada antara mereka yang mampu membuat jualan sebanyak RM10 ribu hingga 15 ribu sebulan.

Dengan hasil jualan yang terus meningkat sehingga RM3.93 juta sehingga September 2021, Faridah juga mampu membeli sebuah rumah di Shah Alam, Selangor.

Semoga kejayaan wanita bernama Faridah Hanom ini menjadi sumber inspirasi buat semua insan di luar sana.

“Ingat, sikap rajin berusaha, suka mencari ilmu dan sentiasa bersungguh-sungguh adalah kunci penting untuk mencapai sesuatu kejayaan,” kata beliau.

Dapatkan secara percuma

Dapatkan buku 100 Usahawan Jutawan : Satu Misi Bantu The Nation dengan mendaftar ke Wanita Bangkit Berniaga sekarang!

You May Also Like…

Batang buruk punca kekayaan!

Batang buruk punca kekayaan!

Hanya dengan menjual batang buruk, seorang wanita bernama Nor Hedayah Kaulan kini mampu meraih pulangan bernilai...