TIADA siapa menyangka kehidupan Robiatul Adawiyah Ibrahim, seorang guru tadika yang sebelum ini hanya memiliki pendapatan RM900 sebulan, kini berubah selepas beliau memulakan perniagaan makanan pemanis mulut, Durian Crepe.
Wanita itu kini memiliki pendapatan mencecah jutaan ringgit setelah mendapatkan bimbingan daripada RichWorks yang menunjukkan Robiatul jalan bagaimana untuk membina perniagaannya dengan lebih baik.
Ekoran kejayaan perniagaannya itu, wanita tersebut mampu memiliki dua buah kereta dan sebuah rumah bernilai hampir RM800,000 hanya dengan berniaga Durian Crepe.
Pengasas Rabi Sugarflour dan Durian Crepe Cheese Leleh By Rabi itu bukan sahaja berjaya mengubah kehidupannya, juga suaminya yang dulu bekerja sebagai penghantar piza di sebuah rangkaian restoran makanan segera.
Sejak bergelar usahawan durian crepe, banyak kebimbangan yang beraja di hati wanita itu berjaya diusirnya jauh-jauh, khususnya berkaitan masalah kewangan yang melanda Robiatul sebelum ini.
“Paling menyedihkan saya ialah apabila melihat keadaan ibu bapa saya yang dibelenggu dengan hutang keluarga hampir RM40 ribu. Ketika itu pemiutang mahu mengambil semula wangnya dan meminta kedua orang tua saya segera membayarnya kembali.”
“Masalah tersebut mendesak kami adik beradik berpakat nak jual rumah bayar hutang orang,” kata Robiatul membuka kisah kesusahan hidup keluarganya.
Kerisauan yang melanda Robiatul tidak terhenti setakat itu sahaja, sebagai wanita yang bergelar isteri, beliau tidak sanggup lagi melihat suaminya yang kadang kala pulang dalam keadaan luka-luka di tubuhnya disebabkan kemalangan ketika bekerja.
Sikap suaminya yang tidak memaklumkan Robiatul setiap kali kecelakaan berlaku kerana bimbang beliau bersusah hati, turut menjadi faktor pendorong kepada wanita tersebut memberi fokus kepada perniagaan durian crepe secara serius.
Jika dulu, pengasas Rabi Sugarflour itu akan memulakan kehidupannya seawal pukul 3 pagi memasak untuk keluarganya sebelum ke tadika, tetapi kini beliau tidak lagi perlu berbuat demikian.
“Saya masih ingat, selepas pulang tadika sekitar pukul 12 tengah hari, saya buat penghantaran pula sebelum membeli barangan berniaga dan sambil itu buat pemasaran untuk ambil pesanan orang serta masak lagi sehingga 12 tengah malam.
“Begitulah rutin seharian saya sebelum saya benar-benar serius berniaga durian crepe,” ujarnya yang pada ketika itu hanya mampu meraih pendapatan RM1,000, itu pun jika jualannya mendapat sambutan.
Pada masa itu, Robiatul berniaga apa sahaja yang mampu dijualnya termasuk membuat lunch box, kek dan lasagna.
Sehinggalah pada satu hari, beliau secara tidak sengaja menonton video live Datuk Wira Dr. Azizan Osman menerusi platform media sosial, Facebook yang ada menyebut tentang sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.
“Saya cuba memahami ayat itu yang membuatkan saya tersentak. Saya mula terfikir bagaimana saya hendak melakukan perubahan pada diri dan keluarga.”
“Kalau tak, siapa lagi yang nak bela nasib keluarga saya kerana duit yang kami ada selalunya hanya cukup-cukup makan sahaja. Bermula dari situ, saya semakin rajin mengikuti live dan video-video Dr. Azizan,” jelasnya.
Menerusi tontonan video-video tersebut, banyak ilmu yang Robiatul pelajari sehingga beliau memasang tekad untuk berniaga sepenuh masa dari rumah dan nekad mengambil keputusan meletakkan jawatannya sebagai guru tadika pada 2018.
“Sejak itu, saya menggunakan ilmu-ilmu dari RichWorks dan ceramah bimbingan Dr. Azizan yang diberikan secara percuma, untuk berniaga dari rumah,” tambah beliau.
Anak kepada seorang guru mengaji al-Quran dan juga pemandu teksi itu kemudiannya menyertai program Black Magic yang dipelajarinya secara atas talian sehingga mampu menjana pendapatan daripada RM5,000 kepada RM20 ribu secara konsisten.
“Daripada menyertai program atas talian, saya mula memberanikan diri menghadiri program IMKK (Intensif Magnet Kekayaan & Kejayaan). Selepas itu, saya menyertai pula program Mentorship SPIRE pada Mac 2019, sebelum diterima menyertai Titanium circle penghujung tahun berkenaan,” katanya.
Berkat bimbingan yang betul, Rabi Sugarflour berjaya mencapai jualan RM1.1 juta pada September 2019.
“Bayangkan jualan pada 2018 hanya sebanyak RM147 ribu, tetapi secara tiba-tiba ia meningkat mendadak sehingga mencecah RM1.3 juta setahun berikutnya dan pada tahun 2020, syarikat saya berjaya pula capai RM2.4 juta ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.
Bercerita pengalamannya mengendalikan perniagaan semasa Covid-19 melanda dan PKP dilaksanakan kerajaan, beliau akui sebenarnya berada dalam ketakutan kerana bimbang hasil jualan syarikatnya akan terjejas teruk.
Namun, berkat sokongan dan bimbingan Dr. Azizan bersama pasukan RichWorks, ianya telah banyak membantu perniagaannya menongkah arus di tengah-tengah pandemik yang melanda dunia pada ketika ini.
Apa yang lebih membanggakan, perniagaannya bukan sahaja mampu bertahan, malah terus berkembang sehingga menyaksikan peningkatan yang amat baik. Pada tahun 2020 juga, Robiatul sudah mampu memiliki kedai dan kilangnya sendiri.
“Kalau dulu perniagaan saya hanya beroperasi dari rumah, tetapi kini saya sudah pun mempunyai kedai dan kilang,” katanya sambil tersenyum.
Apa yang lebih manis, wanita itu turut berkemampuan membelikan ayahnya sebuah kereta secara tunai dan memberikan wang saku kepada emak dan ibu mertuanya sebanyak RM1,000 setiap bulan.
Robiatul memberitahu, jika dulu, beliau tidak pernah terlintas memiliki kereta yang mewah, tetapi kini sudah mampu membeli dua kereta jenis Proton X70 dan Toyota Vellfire.
“Dulu dalam bank, wang hasil berniaga hanya RM5,000, tetapi kini jumlahnya meningkat menjadi ratusan ribu. Malah, dulu saya hanya sewa rumah RM350 sebulan, sekarang mampu beli rumah berharga hampir RM800,000.”
“Sejak zaman kecil sehinggalah besar kami tak pernah ada kereta keluarga, selain teksi pinjam daripada syarikat. Kekurangan kemampuan keluarga saya itu yang mendorong saya rasa hendak buat tindakan luar biasa,” jelasnya.
Tiada siapa yang menyangka kemiskinan hidup yang pernah dilalui Robiatul termasuk pengalamannya membantu ibu berniaga di kantin sekolah bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga, kini hanya tinggal dalam lipatan kenangan yang menjadi sejarah dalam kehidupan wanita gigih itu.
Daripada seorang guru tadika yang memiliki pendapatan hanya RM900 sebulan, Robiatul kini sudah boleh berbangga kerana mampu menjana keuntungan menerusi hasil jualan yang mencecah RM3.5 juta pada tahun 2021.
Sehubungan itu, beliau berpesan kepada bakal-bakal usahawan di luar sana agar tidak berhenti untuk belajar bagi mendalami ilmu perniagaan, jika berhasrat untuk berjaya dalam bidang tersebut.
Menurutnya, binalah pengalaman untuk diri sendiri terlebih dahulu dan setelah itu, kongsikanlah pengalaman itu dengan orang lain agar mereka juga dapat memanfaatkannya.
“Tanpa ilmu, sesebuah perniagaan yang diusahakan itu sudah tentu sukar untuk meningkat maju,” katanya.