Tekad ubah kehidupan selepas pemergian ayah

Dapatkan secara percuma

Dapatkan buku 100 Usahawan Jutawan : Satu Misi Bantu The Nation dengan mendaftar ke Wanita Bangkit Berniaga sekarang!

Kehilangan ayahanda tercinta yang pergi menyahut seruan Ilahi pada 2019, benar-benar telah membuat Nur Hidayati Ahmad Barudin tersentak dan diselubungi dengan perasaan bersalah kerana dia tidak sempat memberi kesenangan hidup kepada lelaki itu yang selama ini menjadi tulang belakang buat keluarganya.

“Pada Jun 2019, saya benar-benar diuji oleh Allah SWT. Allah ambil keramat hidup saya, Allah pinjamkan abah sekejap sahaja.”

“Fikiran saya ligat memikirkan, kasih sayang abah telah tiada namun hati kena cekal. Saya tak boleh lemah semangat Saya mesti bantu mak, saya mesti bantu adik beradik,” katanya mengimbas kembali sewaktu beliau bangkit memperbaiki taraf hidup keluarganya menerusi perniagaan Sahabat Enuur iaitu perusahaan al-Quran tagging.

Pengasas Enuur Sdn Bhd itu berkata, disebabkan rasa bersalah kerana gagal memberikan yang terbaik kepada abahnya sewaktu hayatnya masih ada, beliau memasang tekad untuk memajukan perniagaannya agar usaha itu dapat membantu ibunya yang hanyalah seorang suri rumah, serta adik-beradiknya yang masih belajar.

Menurut Hidayati, keluarganya agak susah kerana sebelum itu hanya abahnya seorang yang bekerja dan menanggung mereka.

“Saya masih ingat lagi, selepas balik kerja, arwah abah saya akan turun ke bendang untuk usahakan tanaman padi. Lepas itu dia akan pergi menoreh getah dan dia juga pelihara itik agar telurnya dapat dijual.”

“Jarang sekali saya nampak arwah abah saya berehat. Sehingga ke akhir hayatnya pun beliau masih lagi bersusah payah mencari nafkah untuk kami sekeluarga.”

“Sekarang bila arwah abah dah tiada, saya berazam untuk bantu keluarga kerana saya tak nak mak saya jadi petani seperti abah dahulu. Saya tak nak mak bersusah payah lagi,” ujarnya.

Berkenaan penglibatannya dalam perniagaan, Nur Hidayati berkata, beliau sebenarnya pernah menjual bermacam-macam produk seperti makanan sunnah, telekung, kopi, pekasam dan pakaian muslimah.

Tapi semuanya tidak menjadi dan ibarat membuang masa kerana beliau gagal meraih pendapatan yang secukupnya bagi menyenangkan keluarganya.

“Saya bermula dengan dropship, saya pernah berniaga dalam talian dan juga offline. Saya juga pernah buka gerai di depan masjid, di universiti, di dalam dan juga di luar Kelantan, malah saya juga pernah buka gerai menjual kopi di Maeps, Serdang, Selangor. Tapi semua usaha itu tidak menjadi,” ujarnya.

Pada tahun 2017 iaitu dua tahun sebelum arwah abahnya meninggal dunia, Nur Hidayati mendapat idea untuk membantu umat Islam membaca dan khatam al-Quran dengan lebih cepat dan mudah.

Ekoran itu, pada tahun yang sama, beliau mendaftarkan sebuah syarikat sendirian berhad dengan tujuan untuk memasarkan produk yang dikenali sebagai al-Quran tagging.

Melalui produk yang dikeluarkan oleh syarikatnya iaitu Enuur, aktiviti membaca al-Quran akan menjadi lebih seronok, sekaligus dapat membantu umat Islam untuk khatam dalam tempoh hanya sebulan

Malangnya, Hidayati pada awalnya gagal menguruskan perniagaannya itu dengan baik sehingga beliau banyak berhutang dengan suami, ibu mertua dan juga adik beradiknya.

Hidayati juga tidak mampu menikmati gajinya sendiri kerana terpaksa menggunakan wang tersebut untuk dijadikan sebagai pusingan modal.

“Masa tu, saya juga tak dapat nak beri duit bulanan kepada mak dan arwah abah. Saya rasa saya seorang anak yang teruk. Saya juga jarang bagi hadiah kepada arwah abah dan apabila abah telah tiada, saya belajar untuk menghargai keluarga dan insan di sekeliling saya,” katanya.

Lantaran hal itu juga, Nur Hidayati ingin bangkit bagi membantu mak dan ahli keluarganya selain menyelesaikan hutangnya yang bertimbun yang sebelum ini dipinjamnya sebagai modal bagi mengusahakan perniagaan.

“Saya berhutang dengan suami, adik beradik dan mertua sehingga lima angka untuk buat pusingan modal. Tapi apa yang berlaku, perniagaan saya tidak ada untung, walaupun saya sendiri tak pernah mengambil gaji dari perniagaan saya. Saya betul-betul malu dengan keluarga saya dan mertua kerana saya banyak menyusahkan mereka,” katanya.

Menceritakan kisahnya dengan lebih terperinci, Nur Hidayati memberitahu bahawa pada  2018, beliau menumpukan fokusnya kepada produk syarikatnya iaitu al-Quran tagging dan bukan lagi sibuk dengan produk-produk lain.

Hasil kerja kerasnya, sambutan pelanggan dan ejen ke atas produknya adalah sangat baik sehinggakan beliau meraih hasil jualan bernilai RM1.8 juta

“Walaupun banyak produk terjual, tetapi syarikat sebenarnya tidak untung. Saya sendiri sampai takde duit nak isi minyak kereta dan terpaksa pinjam daripada mertua,” katanya sedih.

Setelah pemergian abahnya pada 2019, di situlah baru Nur Hidayati sedar bahawa dirinya perlu berubah serta mencari jalan untuk memperbetulkan caranya mengurus syarikat.

Beliau kemudiannya menyertai RichWorks dengan harapan untuk membangunkan semula perniagaannya dengan cara yang betul dan berkesan.

Semasa menyertai beberapa program RichWorks dan mendapat bimbingan daripada Datuk Wira Dr. Azizan Osman, beliau sedar akan kelemahan dan kesilapan yang dilakukannya dalam perniagaan.

Paling ketara katanya ialah beliau tidak mempunyai ilmu kepimpinan dalam mentadbir syarikat mahupun mengurus kakitangannya

“Cara saya memimpin dalam syarikat agak lemah. Sebab saya tak pandai cakap dan saya juga tak pandai mempengaruhi pasukan.”

“Kesannya, pasukan keluar masuk sesuka hati. Jualan juga tersekat dalam tempoh yang lama. Nampak sahaja jualan macam tinggi, tetapi hakikatnya syarikat tiada simpanan,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga mengakui yang sebelum ini beliau tidak tahu tentang penetapan harga, cara membimbing ejen, malah syarikatnya juga tidak memiliki visi dan misi yang jelas.

Namun semua itu katanya telah beliau atasi hasil daripada tunjuk ajar dan bimbingan yang diterimanya di RichWorks.

“Pada tahun 2020, syarikat saya berjaya menghasilkan jualan yang bernilai RM5.75 juta, manakala pada suku ketiga tahun 2021, jualan syarikat mencecah RM8.72 juta,” ujarnya.

Nur Hidayati berkata, di saat beliau gigih membangunkan lagi perniagaannya, beliau juga mahu membalas budi kakitangan yang selama ini setia dengan syarikatnya.

Walaupun mereka tidak sedarah dengannya, namun beliau juga ingin melihat kehidupan mereka bertambah baik.

“Insya-Allah saya nak bantu mereka memiliki kenderaan dan rumah sendiri suatu hari nanti.’

“Kalau boleh, saya juga nak taja mak dan ayah kakitangan saya pergi menunaikan umrah,’ katanya lagi.

Dapatkan secara percuma

Dapatkan buku 100 Usahawan Jutawan : Satu Misi Bantu The Nation dengan mendaftar ke Wanita Bangkit Berniaga sekarang!

You May Also Like…

Batang buruk punca kekayaan!

Batang buruk punca kekayaan!

Hanya dengan menjual batang buruk, seorang wanita bernama Nor Hedayah Kaulan kini mampu meraih pulangan bernilai...