Sebelum bergelar seorang usahawan, Siti Khadijah Abdul Aziz memiliki pekerjaan tetap sebagai jururawat di sebuah hospital kerajaan di Singapura.
Bekerja sebagai jururawat bukanlah pilihan hati, tetapi atas dasar menurut kata ayahnya yang mahu beliau menjadi seorang jururawat.
“Saya bekerja sebagai jururawat sebelum menjadi usahawan. Saya memang tak minta untuk menjadi jururawat, tapi ayah saya yang mahu saya memilih kerjaya tersebut,” kata pengasas Kaifiyyah Pte Ltd itu sewaktu membuka bicara tentang latar belakang pekerjaannya sebelum bergelar usahawan.
Mengimbas kembali sewaktu di awal pembabitan dalam bidang perniagaan, Siti berkata, beliau memulakan perniagaan pada 2013, tetapi hanya menjual pakaian muslimah seperti tudung, tanpa ilmu dan kefahaman yang baik terhadap bidang keusahawanan.
“Masa itu, saya ikut-ikutan orang berniaga, orang jual tudung saya pun jual tudung. Saya lakukan tanpa ilmu perniagaan, sehinggakan Datuk Wira Dr. Azizan Osman pernah berkata berniaga bukan macam itu.”
“Saya banyak bertanya pendapat, kepada orang yang tak pandai berniaga pun saya tanya. Tetapi malangnya semuanya beri jawapan yang tidak menyokong. Macam ayah saya, terang-terangan mengatakan kita bukan orang berniaga, jadi jangan berangan,” ujarnya.
Wanita kelahiran dari negara Temasek itu mengakui beliau tidak langsung memiliki latar belakang dalam bidang keusahawanan dan perniagaan bukanlah jurusan yang dipelajarinya semasa di kolej. Beliau ke sekolah kejururawatan kerana menurut kehendak ayahnya yang mahu melihat anaknya itu bergelar jururawat.
“Saya terpaksa turutkan sebab saya tiada pilihan kerana ayah saya yang suruh saya ambil jurusan kejururawatan. Niat hati hendak gembirakan ayah, maka saya turutkan sahaja. Kemudian, saya mula bergelut dengan keadaan sebab saya tak minat dengan dengan kerjaya itu. Bukan karier jururawat ni tak bagus cuma saya memang tak minat,” jelas Siti.
Selepas mendirikan rumah tangga dan memiliki anak, Siti semakin tidak betah dengan pekerjaannya itu, lebih-lebih lagi fokusnya kini tertumpu kepada zuriatnya.
Beliau merasakan segala urusannya perlu diselesaikan di rumah, jadi Siti mula mencari peluang bagaimana untuk menambah pendapatan hanya dengan bekerja dari rumah.
“Sambil saya membesarkan anak, saya bergelut dengan masalah kewangan kerana saya tak tahu menguruskannya. Pada masa itu, dalam fikiran saya berniaga adalah satu-satunya jalan saya boleh menambah pendapatan,” katanya.
Memikirkan tentang minatnya itu, Siti mula menimbangkan keputusan untuk berhenti kerja ditambah pula dengan masalah rakan sekerja yang tidak sehaluan, akhirnya Siti nekad untuk berhenti kerja.
Siti mula mengorak langkahnya berniaga dan berusaha mencipta jenama sendiri dengan menjual pakaian muslimah.
“Apabila saya dah berhenti kerja, saya mula berniaga dengan memperkenalkan jenama sendiri. Masa itu saya memang sukakan benda-benda glamour ni, jadi bila orang tahu jenama saya, dalam hati saya sangat teruja tapi malangnya keluarga terdekat sering memerli dan tidak memberi sokongan,” jelasnya.
Namun, Siti tidak mudah berputus asa, beliau terus berkayuh tanpa mengenal erti penat lelah dari 2013 hingga 2019.
Katanya, pada waktu itu, beliau tidak peduli dengan dinding yang dilanggar, walaupun kepalanya sendiri berdarah, tetap dihantuk juga kepalanya ke dinding.
Siti juga tidak kisah berhutang, janji dapat meneruskan perniagaannya, walaupun beliau sendiri tidak tahu ke mana arah tujuannya.
“Saya memang banyak berhutang, entah macam mana saya pandai sangat meminjam wang,l pun saya tak tahu. Saya cakap saya nak buat berniaga sedangkan saya tak tahu pun macam mana arah tujuan saya, ilmu pemasaran lagilah saya tak tahu.”
“Cubalah anda bayangkan, usaha saya selama ini berakhir dengan perasaan keluarga yang kecewa terhadap tindak-tanduk saya sekali gus, buat mereka hilang kepercayaan terhadap saya. Ayah kata, bila dia sudah tiada lagi di dunia ini, mungkin saya masih terumbang-ambing mencari arah tuju. Sungguh, saya tidak sanggup melihat kekecewaan ayah saya,” katanya dalam nada sebak.
Sehinggalah masuk tahun 2020, seorang rakan yang merupakan anggota Titan mengajak Siti menyertai RichWorks.
“Saya lihat rakan saya itu perniagaannya sangat bagus, malah, dia seorang yang merendah diri dan bila dia ajak saya belajar dengan doc (Dr. Azizan), masa itu saya memang tak faham apa yang dia katakan.”
“Sebenarnya pada waktu itu dalam tahun 2019, saya dah kembali bekerja sebagai jururawat. Masa itu saya dah berputus asa,” ujarnya.
Dengan emosi yang kurang stabil dan keadaan kehidupan yang mendesaknya untuk bekerja semula, Siti telah berputus asa untuk mengejar impiannya sebagai peniaga kerana baginya kebahagian dan restu keluarga lebih utama.
“Saya rasa saya selalu betul. Saya jadi ibu yang mementingkan diri sendiri, saya dibebani hutang yang banyak, jadi saya terpaksa masuk kerja semula. Saya betul-betul pokai ketika itu,” katanya.
Walaupun begitu, dengan sisa-sisa harapan yang masih tinggal, Siti gagahkan hati untuk pergi ke Shah Alam bagi menyertai program Nak Ubah Hidup (NUH) anjuran RichWorks pada Januari 2020.
“Masa itu, saya dah tak ada duit untuk naik kapal terbang. Saya ambil bas dari Singapura ke Kuala Lumpur dan menaiki grab ke Shah Alam. Saya bagi tahu diri saya sendiri, saya perlu belajar! Masa itu saya dah buang masa lampau saya,” tegasnya.
Memikirkan tentang hutangnya yang bertimbun iaitu sebanyak SGD100,000 (RM307,953), Siti sedar hala tuju dirinya perlu diperbetulkan.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Covid-19 melanda dunia dan Malaysia menutup pintu sempadan, begitu juga dengan Singapura.
Namun, ada hikmah di sebalik musibah yang menimpa, Siti masih boleh meneruskan pembelajarannya bersama RichWorks menerusi kelas dalam talian.
“Walaupun semua orang susah ketika Covid-19, tetapi saya bersyukur kerana saya tak perlu lagi ke Shah Alam. Semuanya secara dalam talian sahaja,” ujar Siti.
Sejak mempelajari selok-belok perniagaan bersama RichWorks dan bimbingan daripada Dr. Azizan, Siti berjaya bangkit daripada kekecewaannya berniaga.
Beliau mula menyertai program SPIRE yang mana telah membantunya mengubah hala tuju perniagaan yang diusahakan sehingga berjaya melangsaikan hutang hanya dalam tempoh enam bulan.
“Saya tak pernah nampak angka juta dalam akaun saya. Alhamdulilah saya berjaya capai RM1 juta pertama. Malah keluarga secara perlahan-lahan mula menerima hakikat saya kembali berniaga,” jelas beliau yang kini berjaya menyertai program Titan.
Kini, Siti sudah boleh berbangga dan tampil yakin di depan keluarga dengan hasil jualan syarikatnya. Pada 2020, syarikatnya berjaya mencapai keuntungan RM352,954, manakala pada 2021 Kaifiyyah Pte Ltd mencatat peningkatan perolehan sebanyak RM4.04 juta.
Beliau juga sudah mampu memiliki pejabatnya sendiri dan mampu mengupah tujuh orang kakitangan.