Kajian mendapati bahawa kira-kira 70 peratus rakyat Malaysia tidak dapat mengawal kewangan mereka dengan baik, walaupun majoriti rakyat merasakan yang mereka melakukannya dengan sempurna selama ini.
Gagal merancang perbelanjaan dan sikap boros adalah antara perkara yang akhirnya membuatkan seseorang individu itu mungkin berdepan dengan masalah kewangan kronik, yang akhirnya menyusahkan diri dan keluarga.
Situasi itu pernah dialami oleh Norliza Ajis di dalam kisah ini, apabila beliau terpaksa hidup melarat ekoran kegagalannya merancang perbelanjaan dengan baik, sehinggakan wang pampasan yang diterimanya akibat diberhentikan kerja, habis begitu sahaja.
Menceritakan semula apa yang dialaminya, Norliza memberitahu bahawa pada tahun 1998, kegawatan ekonomi yang melanda negara telah memaksa majikannya iaitu salah sebuah bank di negara ini, menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada beliau.
Bersetuju dengan tawaran VSS bermaksud beliau akan diberhentikan kerja, tetapi akan diberikan pampasan berdasarkan tempoh perkhidmatannya kepada majikannya selama ini. Norliza bersetuju dan sejumlah wang yang agak besar nilainya, diberikan kepadanya.
Rambang mata dengan jumlah wang pampasan yang diterimanya, beliau dengan gopoh membeli sebuah kereta, selain menyerahkan sejumlah wang yang besar kepada ‘rakan kongsi’ yang mengajaknya menjalankan perniagaan buku.
“Tindakan itu akhirnya menjadi punca berlakunya peristiwa hitam dalam hidup saya. Wang yang saya laburkan sebagai modal untuk dipusing menjadi sebuah perniagaan, akhirnya lenyap begitu sahaja,” katanya kesal.
Sehingga ke hari ini ‘rakan kongsinya’ itu senyap seperti ditidurkan, dan langsung tiada khabar berita tentang perniagaan yang ingin dijalankan, apatah lagi tentang jumlah keuntungan yang kononnya akan diperoleh, semasa di awal perbincangan mereka.
Hari demi hari berlalu. Wang simpanan Norliza semakin susut. Beliau mula runsing dan cuba mencari peluang bisnes lain. Atas usahanya itu, dia akhirnya mendapat tawaran untuk membuka gerai di Hostel Samsung.
Namun begitu, tawaran itu terpaksa ditolak kerana beliau tidak lagi mempunyai modal untuk memulakan perniagaan berkenaan. Akhirnya Norliza memutuskan untuk kembali ke kampung halamannya di Seremban.
“Masa di Seremban pula saya pinjam wang daripada Mak Lang saya sebanyak RM2,600 untuk membuka gerai makan secara kecil-kecilan. Tetapi tidak lama selepas itu, saya ditimpa penyakit yang memaksa saya menutup gerai makan tersebut,” ujarnya.
Setelah itu jelasnya, masalah kewangannya menjadi semakin teruk dan beliau terpaksa menyara hidup dengan mengutip kotak. Perbelanjaan hariannya terpaksa dicatu. Isi minyak kereta pun hanya RM10 untuk digunakan selama 3 hari.
Tidak cukup itu, sewa rumahnya berbulan tertunggak. Cukai jalan kereta sudah setahun tidak dibayar. Begitu juga dengan ansuran kereta sehingga keretanya hampir ditarik oleh penarik kereta.
“Terlalu perit untuk diceritakan sebenarnya. Tapi saya berazam untuk mengubah hidup kerana saya tak nak tengok suami dan anak saya hidup susah. Saya kena berusaha dengan lebih kuat walaupun saya tahu banyak cabaran yang perlu dihadapi,” jelasnya.
Norliza berkata, setelah itu beliau cuba melakukan beberapa perniagaan seperti terlibat dalam perniagaan jualan langsung, cuci kereta, menjual baju kurung Vietnam, menjual perfume dan menjual kerongsang.
Akhir sekali jelasnya, beliau mengasaskan perniagaan berkaitan pengurusan kewangan yang dikenali sebagai Premier Wealth Advisor bagi membantu pelanggan merancang dan menguruskan kewangan mereka dengan lebih berkesan.
Beliau memperkenalkan perniagaan itu dengan tujuan untuk membantu orang ramai agar tidak melalui apa yang pernah dilaluinya. Antara produk yang ditawarkan ialah unit trust, skim persaraan swasta (PRS), takaful dan wasiat serta hibah.
Konsep syarikat itu ialah Create, Protect & Preserve dan pelanggan syarikat dibimbing bagaimana membuat simpanan di tempat yang betul, teknik menggandakan simpanan, serta cara untuk melindungi simpanan dan harta agar tidak dibekukan sekiranya sesuatu terjadi.
Menurutnya, beliau sangat berpuas hati dapat menjalankan perniagaan itu kerana selain dapat membantu orang terutamanya ketua keluarga, beliau juga yakin perniagaannya itu boleh menjadi asbab untuk beliau mendapat pahala sebagai bekalan di akhirat nanti.
Menyentuh kisahnya bersama RichWorks pula, beliau memberitahu bahawa program pertama yang disertainya ialah Seminar Klinik Usahawan yang bernilai RM30, walaupun pada mulanya beliau agak skeptikal.
Namun begitu, tindakan pertamanya menyertai program anjuran Datuk Wira Dr. Azizan Osman itu telah berjaya mengubah fikirannya.
Kemudiannya, beliau terus menyertai program-program kelolaan syarikat berkenaan dan hasilnya, bukan sahaja perniagaan yang dijalankan kian berkembang maju, malah dia dapati keperibadian dirinya juga semakin baik hasil bimbingan yang diberikan.
“Dalam program-program RichWorks yang saya sertai, mereka membimbing saya cara memperbaiki diri, mengubah cara saya berfikir agar tidak cepat melatah serta berfikiran matang dan sentiasa diajar untuk sentiasa bersangka baik sesama manusia.”
“Saya juga diajar bagaimana untuk menjadi seorang leader yang bagus terhadap ahli pasukan, bagaimana membuat keputusan yang betul dalam organisasi, cara mentadbir dan menguruskan kewangan syarikat, selain mereka sering memberikan saya motivasi untuk terus berusaha demi kesejahteraan di dunia dan akhirat,” jelasnya panjang lebar.
Dalam program Titanium yang disertainya pula, beliau katanya bersyukur kerana dapat mengenali ramai Titan yang terdiri daripada usahawan-usahawan yang berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing.
“Dalam circle Titan tak boleh nak duduk diam saja sebab sepanjang masa mereka akan update apa sahaja yang mereka capai. Jadi kita pun rasa terinspirasi dan membuatkan kita tak boleh nak duduk diam juga sebab kita pun nak capai sebanyak mungkin kejayaan.”
“Kesemua Titan juga tak kedekut ilmu dan saling berkongsi tips, panduan dan nasihat tentang apa yang kita boleh lakukan pada perniagaan kita agar perniagaan tersebut terus berkembang maju,” ujarnya.
Jika dahulu beliau pernah mengalami kesukaran membayar sewa rumah dan kereta hampir ditarik, hari ini Norliza gembira kerana dia mampu memiliki beberapa rumah sewa sendiri dan mempunyai beberapa buah kereta.
Lebih menggembirakan lagi katanya ialah apabila beliau berjaya membantu ramai ahli pasukannya meningkatkan pendapatan, membeli rumah dan kereta sendiri serta dapat memberi kesenangan kepada keluarga mereka.
Pesan Norliza, carilah guru atau mentor yang betul jika ingin maju dalam hidup dan perniagaan, dan yang paling penting juga, jangan lupa membuat simpanan wang dan aset serta perlu bertindak bijak dalam menguruskannya.