Bagaikan berada dalam lorong gelap. Itu perumpamaan bagi mereka yang diuji dengan detik sukar sehingga buntu mencari jalan keluar.
Situasi itu turut dialami oleh Pengasas NKMH Media Sdn Bhd, Nur Khairunnisa Rosli dan Hafiz Yahya, yang turut berdepan pelbagai dugaan dan cabaran sebelum berjaya membina empayar perniagaan sendiri.
Menyingkap kembali peristiwa hitam suatu ketika dahulu, kedua-dua pengasas ini sama sekali tidak dapat melupakan saat mereka diberhentikan kerja, ibarat dilepaskan dalam keadaan sehelai sepinggang.
“Perkara pertama yang bermain di fikiran saya ketika itu sudah semestinya keluarga dan anak-anak yang masih kecil. Saya benar-benar buntu dan fikiran bercelaru memikirkan apakah yang perlu dibuat bagi menampung keluarga,” kata Khairunnisa.
Berbekalkan pengalaman bekerja bersama agensi media selama enam tahun, dua sahabat ini tekad mengorak langkah bersama mengasaskan syarikat NKMH Media Sdn Bhd dan Media & Digital Advertising Agency, pada tahun 2017.
“Pada saya keluarga menjadi pendorong utama atau Big Why agar tidak lagi menoleh ke belakang mengenang kisah silam yang pahit. Sebaliknya, saya memasang cita-cita untuk berjaya.”
“Malah saya berjanji pada diri sendiri untuk memastikan anak-anak saya dapat diberikan keperluan asas yang diperlukan terutamanya pendidikan yang sempurna,” katanya yang mempunyai seorang anak istimewa.
Dalam perjalanannya mencari arah menuju kejayaan, beliau sedar bahawa keperluan anaknya perlu diutamakan apatah lagi apabila anaknya itu memerlukan penjagaan dan terapi yang memakan kos yang tidak sedikit.
“Anak saya adalah penguat semangat saya. Selain itu, sebaik tertubuhnya syarikat ini, saya juga menanam azam untuk berkongsi rezeki dengan orang lain, termasuk dengan kakitangan syarikat agar mereka juga mampu mencapai matlamat mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun, asam garam dalam dunia perniagaan, perjalanan perniagaan mereka tidaklah mudah, apatah lagi untuk memastikan syarikat mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam sektor pengiklanan di negara ini.
“Antara perkara yang paling tidak boleh saya lupakan ialah peristiwa ditipu rakan yang membuat pinjaman atas nama saya. Bayangkan saya ibarat ‘ditikam dari belakang’ oleh individu yang saya percaya sebelum ini.”
“Bukan itu sahaja, saya juga tidak ada ilmu dan kurang memahami proses serta selok belok asas perniagaan. Ketiadaan ilmu boleh menjadi antara faktor perniagaan yang diusahakan sukar berkembang.”
“Kemahiran dan ilmu kepimpinan untuk menguruskan kakitangan adalah antara perkara yang sangat penting. Tanpanya, tindakan atau keputusan yang dibuat mungkin hanya akan bersandarkan kepada emosi semata-mata,” katanya.
Disebabkan mereka menyedari kelemahan tersebut, kedua-dua pengasas syarikat ini tidak berlengah mencari ilmu sehinggalah mereka berpeluang menyertai program di bawah kendalian Datuk Wira Dr. Azizan Osman.
Menurut mereka, NKH Media Sdn Bhd tidak mungkin mencapai tahap di mana ia berada sekarang, jika mereka tidak memilih RichWorks sebagai platform untuk mempelajari ilmu perniagaan, selain tanpa izin Allah SWT.
“Setiap kali program, saya semakin bersemangat apabila perniagaan kami menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit berbanding sebelum ini. Mentor banyak membimbing kami membentuk halatuju NKMH Media Sdn Bhd dengan lebih jelas,” katanya.
Khairunnisa dan Hafiz juga menyatakan, keputusan mereka menyertai program-program RichWorks adalah satu tindakan yang tepat serta menjadi batu loncatan untuk terus berjaya.
“Mentor di Richworks terdiri daripada mereka yang mempunyai ilmu dan pakej yang lengkap. Kami diberikan bimbingan yang sangat kami perlukan. Kami juga diajar jalan pintas tentang cara untuk bertindak dan berjaya.”
“Kami yang mulanya teraba-raba dalam perniagaan, kini mendapat banyak ilmu berguna serta dibimbing mencari solusi terhadap permasalahan yang kami hadapi,” jelas Hafiz.
Bercerita lanjut, mereka juga dapat merasa perubahan yang ketara pada diri mereka selepas bersama dengan RichWorks berbanding sebelumnya. Sikap dan cara mereka bekerja, berfikir dan memimpin pasukan serta organisasi, kini berubah 360 darjah.
“Kerana dahagakan ilmu perniagaan, kami melangkah ke peringkat seterusnya dan menyertai program premier Mentoring Titan. Circle Titan memberi kami peluang untuk menaik taraf ilmu yang dimiliki, dengan ilmu yang lebih terkini dan mengikut trend.”
“Circle di Richworks memberi impak yang besar kepada diri dan perniagaan kerana mereka juga terdiri daripada ahli-ahli perniagaan yang berjaya. Mereka saling menyokong satu sama lain serta saling bantu membantu,” ujarnya.
Khairunnisa dan Hafiz turut menitipkan pesan kepada usahawan atau bakal usahawan yang mahu memulakan perniagaan agar berani bertindak tanpa menunggu semuanya sudah lengkap, tetapi tidak secara tergopoh-gapah dan tergesa-gesa.
“Segalanya ada proses kerana hendak berjaya perlu ada proses dan fasa. Mustahil hari ini buat, esok terus berjaya. Percayalah pada diri dan tanamkan azam yang tinggi bahawa kita mampu mencapai apa jua yang kita inginkan.”
“Tapi percaya diri sahaja tidak cukup sebaliknya ia perlu diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kalau hari ini kita buat sesuatu tu tak jadi, buat lagi dan buat lagi sampai jadi. Tapi dalam proses itu, pelajari kesilapan lama dan perbaiki. Insya-Allah, kejayaan pasti milik kita,” katanya.
Sehingga kini, NKMH Media Sdn Bhd telah berjaya membantu lebih daripada 1,000 usahawan dari pelbagai sektor termasuklah syarikat korporat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Di samping itu, NKMH Media Sdn Bhd turut membantu mana-mana pihak terutamanya golongan usahawan untuk menyusun strategi dan content mereka, sebelum membuat kempen pemasaran dan pengiklanan.
Antara perkhidmatan ditawarkan ialah pengiklanan, termasuk dari aspek perancangan strategi dan idea, pemasaran media sosial, pemasaran E-mel, iklan paparan, penglibatan influencer serta penghasilan video dan laman web.
Manakala pendekatan platform secara offline pula meliputi pengiklanan di papan-papan tanda, televisyen, radio, kenderaan, surat khabar dan majalah.
Selepas lima tahun ditubuhkan, NKMH Media Sdn Bhd kini berdiri sebagai pusat sehenti untuk penyelesaian pengiklanan yang memfokuskan kepada strategi platform luar dan dalam talian.
Lebih membanggakan, syarikat ini juga diberi kepercayaan oleh syarikat-syarikat gergasi seperti Google Asia, Tiktok dan Grab Malaysia untuk menjalankan kempen pengiklanan mereka.
Dalam tempoh 9 bulan pertama tahun 2021, NKH Media Sdn Bhd berjaya meningkatkan hasil jualannya hampir dua kali ganda iaitu RM16.7 juta setakat bulan September 2021 berbanding RM10.2 juta di sepanjang tahun 2020.