Adalah lebih baik gagal beribu kali selepas mencuba daripada gagal disebabkan hanya berpeluk tubuh tanpa sebarang usaha.
Dengan semangat kental dan jiwa yang cekal selepas jatuh beberapa kali, kisah pengasas syarikat pembekal pakaian, Sueffi Holdings Sdn Bhd, Suzana Hashim wajar dijadikan contoh kepada sesiapa sahaja yang mahu mengejar impian.
Bagi wanita berjiwa besar ini, langkah pertama beliau memulakan perniagaan pada tahun 2013 selepas membuat keputusan untuk berhenti kerja bukanlah detik kejayaan atau permulaan ke arah yang lebih baik.
Apakan daya, keputusan yang dibuat Suzana dengan jangkaan mampu membawa pulangan yang baik, ternyata meleset sama sekali ekoran tiada ilmu yang cukup di dada.
Namun, bagi bekas penghidap kanser limfoma tahap satu ini, ia sebenarnya menjadi satu titik perubahan pada dirinya untuk melangkah ke arah yang lebih cemerlang.
Mengimbas kembali detik pengalaman yang dilaluinya pada tahun 2013, Suzana berkata, sebaik mengambil keputusan berhenti kerja dan baru memulakan perniagaan, beliau terpaksa mengambil cuti tambahan selepas kerap berulang-alik ke hospital bagi urusan pemeriksaannya.
Menurut Suzana, rutin tersebut berlaku selama tiga tahun sehingga menyebabkan beliau tidak mampu memberikan komitmen terhadap perniagaannya.
“Saya akhirnya terpaksa mengambil keputusan menjual semua barangan menjahit di kedai untuk melunaskan hutang selepas langsung tidak memberi apa-apa keuntungan dalam tempoh tiga tahun.”
“Saya juga tidak mampu untuk membayar sewa kedai serta gaji kakitangan seramai tiga orang dalam tempoh berkenaan,” jelasnya.
Sejurus selepas mengalami detik yang mengecewakan itu, Suzana berkata, beliau mulai sedar antara kesilapan yang dilakukan adalah tidak memasarkan produk dengan betul dan tidak pernah merekodkan hasil jualan sepanjang tempoh tiga tahun beliau berniaga.
Malah katanya, saat paling merugikan ketika itu ialah apabila beliau langsung tidak mempunyai gaji untuk menampung kehidupan sendiri sehinggalah terpaksa membuat keputusan menutup kedainya yang terletak di Sungai Besi.
Beliau yang menyangka tindakan tersebut sebagai satu keputusan tepat bagi menyelesaikan segala masalah, bagaimanapun sedar ia tidak memberi sebarang makna, malah hidupnya bertambah melarat.
“Tahun 2015 adalah tahun kesusahan dan paling gelap dalam hidup saya. Langsung tiada duit dan tidak mampu beli makanan untuk anak-anak sehingga saya terpaksa mengharapkan kedua ibu bapa menyara kehidupan dan membayar sewa rumah saya. Merekalah yang beri duit pada saya setiap bulan,” jelasnya.
Suzana yang enggan mengalah sekali lagi cuba untuk menceburi bidang perniagaan pada tahun 2016 dengan menumpang di kedai rakannya mengambil tempahan menjahit.
“Namun, ayah saya tidak memberi restu kerana bimbang saya sekali lagi berdepan dengan kegagalan. Apatah lagi saya anak bongsu dan paling rapat dengannya.,” katanya.
Tanpa mempedulikan nasihat ayahnya, Suzana tetap meneruskan perniagaannya pada tahun 2016 secara senyap-senyap dengan menumpang di kedai orang lain selama setahun.
“Dalam tempoh tersebut juga, saya sering terfikir sampai bila saya mahu menumpang di kedai orang dan berapa banyak pakaian yang boleh saya buat dalam sehari jika keadaan terus begini? Berapa job pula yang saya boleh ambil apabila terus menumpang?” ujarnya.
Nekad mahu berubah, Suzana akhirnya tergerak hati untuk bertindak dan mula merancang untuk mencari ilmu serta mentor bagi memperbaiki hidupnya yang selama ini berdepan ujian dan kegagalan.
“Apabila Allah nak kita berubah, Dia akan dorong kita ke jalan yang betul. Ketika sibuk mahu mencari ilmu dan mentor, suatu hari saya ternampak iklan RichWorks dan Datuk Wira Dr. Azizan Osman. Maka bermulalah perjalanan perubahan hidup saya,” ujarnya.
Susulan daripada itu, Suzana kemudiannya mula berguru bersama RichWorks dan Dr. Azizan pada tahun 2017 menerusi seminar Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) untuk mengubah kehidupannya yang selama ini diselubungi kegelapan.
“Dr. Azizan mengajar saya bagaimana mahu tetapkan sasaran dengan apa yang nak kita capai. Namun saya pada ketika itu langsung tiada sasaran dan tidak tahu apa yang mahu dicapai dalam hidup.”
“Apabila saya pulang dari kelas, saya cuba betulkan semula segala kesilapan dan tetapkan semula impian serta cita-cita agar mempunyai hala tuju yang jelas demi masa depan yang cemerlang,” katanya.
Selepas sedar dan bangkit daripada kesilapan masa lalu, Suzana berkata, beliau kemudiannya mendaftar untuk menyertai seminar Millionaire Marketing Mastery (MMM) dan seterusnya SPIRE.
Tanpa mahu menunggu lama untuk memperoleh ilmu, Suzana kemudiannya melangkah setapak lagi apabila mula mendaftar program Titan dan dapat dibimbing secara 1 on 1 bersama Dr. Azizan untuk memperoleh lebih banyak ilmu sebagai bekalan pada masa akan datang.
“Banyak perubahan dapat saya rasakan selepas menyertai ketiga-tiga seminar anjuran RichWorks dan Dr. Azizan. Selain perubahan pada sikap, saya dalam masa yang sama dapat merasakan perubahan daripada segi jumlah pendapatan serta peningkatan aspek perniagaan,” katanya.
Buktinya, beliau kini berjaya meraih pendapatan sebanyak RM2.4 juta pada tahun 2020 dan meningkat kepada RM2.58 juta setakat September tahun ini.
Suzana dalam masa yang sama mampu menyewa dua lot kedai untuk kerja-kerja production dengan dibantu 30 kakitangan.
Di samping itu, beliau dalam masa yang sama turut mempelajari cara menjadi pemimpin yang baik dalam sesebuah organisasi.
“Saya juga amat gembira selepas berjaya membeli rumah pertama di Cyberjaya. Sehingga kini, saya masih ingat kata-kata Dr. Azizan antaranya, manusia sebenarnya ada banyak pilihan untuk menentukan arah hala tuju, sama ada mahu jadi yang biasa-biasa atau luar biasa.”
“Apa yang lebih membanggakan saya dapat menggembirakan ayah dan dia mula percaya dengan kemampuan saya selepas berjaya dengan apa yang saya ada,” katanya.
Menurut Suzana, syarikatnya juga kini mempunyai kira-kira 25 buah mesin jahit bagi memenuhi tempahan pelanggannya.
Di samping itu, dengan hasil titik peluhnya, beliau mampu memberi kesenangan kepada keluarga dan kedua ibu bapanya. Beliau dalam masa yang sama berjaya membeli kereta idaman yang sebelum ini hanya mampu dilihat sahaja.
Suzana yang mahu orang lain berjaya sebagaimana dirinya turut berpesan agar teruskan berusaha dan jangan pernah mengalah walaupun pernah jatuh berkali-kali.
“Jadikan ia sebagai pengalaman. Namun, apa yang penting, cari ilmu dan guru yang betul serta penuhkan ilmu di dada agar tidak mengulangi kesilapan yang sama,” katanya.