Status sebagai pensyarah yang pastinya menawarkan kerjaya yang lebih terjamin sanggup ditinggalkannya demi memastikan impiannya menjadi usahawan tercapai.
Pengasas Mango Float Krabi (MFK), Suhaila Yacob turut mengetepikan egonya dan sanggup berniaga di tepi jalan dengan hanya bermodalkan RM42.50 sen.
Beliau juga rela berhujan panas bagi memastikan perniagaan yang diusahakan olehnya dapat dijadikan sebagai satu pengalaman hidup selain menjadi sumber pendapatan.
Bekas tenaga pengajar di sebuah institusi pengajian tinggi ini menjalankan perniagaan menjual makanan berasaskan hidangan Thai di pasar malam.
“Saya mula berjinak-jinak menjadi usahawan sambil bekerja pada tahun 2009 di pasar malam. Saya nekad dan beranikan diri berniaga makanan berasaskan Thai selepas mempelajari daripada ibu saya yang sememangnya berasal dari sana.”
“Pada saat itu, cuba anda bayangkan keadaan saya yang perlu membahagikan masa antara tanggungjawab terhadap anak-anak, suami dan perniagaan. Tapi seringkali saya ingatkan pada diri bahawa ini ialah perjuangan dan saya perlu bersedia berkorban masa dan tenaga.”
“Bukan sahaja saya dan suami, biasa tidur dalam kereta semasa berniaga, malah anak kami pun dari kecil lagi sudah terdidik dan biasa tidur dalam kereta atau troli. Apa yang saya fikirkan pada masa itu hanyalah matlamat dan objektif untuk memberikan wang kepada ibu saya sebanyak RM1,000 sebulan dan akhirnya ia tercapai.”
“Selain itu, saya juga mahu membuktikan produk Mango Float Krabi saya boleh maju dan saya mahu buktikan bahawa anak orang kampung ini juga boleh berjaya,” katanya dengan penuh semangat.
Dalam pada itu Suhaila berkata, salah satu faktor yang menyebabkan beliau sanggup dan tekad berhenti sebagai pensyarah ialah apabila gaji bulanan yang diterimanya tidak pernah cukup, sekaligus membuatkannya sering rasa tertekan.
“Saat paling sukar dalam hidup ialah apabila gaji bulanan saya sebagai pensyarah banyak digunakan untuk membayar pinjaman peribadi dan komitmen bulanan lain. Bayangkan, saya terima gaji pada setiap 25 hari bulan, tapi pada keesokan harinya iaitu 26 hari bulan, baki dalam tangan hanya tinggal RM1000.”
“Saya benar-benar tertekan kerana kos hidup agak tinggi dan saya membuat keputusan untuk cuba berniaga semasa masih bekerja, sebelum mengambil tindakan berani untuk berhenti kerja,” katanya.
Sebaik meletak jawatan, beliau terus fokus memasarkan makanan Thai yang dikeluarkannya iaitu Mangga Float Krabi, Kerabu Mangga Krabi dan Roti Krabi.
“Alhamdulillah permintaan semakin lama semakin meningkat dan tahun 2021 ini sahaja, sebanyak 16 juta cup Mangga Float Krabi sudah terjual. Ia pencapaian yang amat membanggakan dan ramai yang bertanya apakah rahsia perniagaan saya.”
“Pada saya mudah. Perkara paling asas semasa kita membuat keputusan untuk berniaga sepenuh masa ialah kita perlu membuang rasa ego yang ada dalam diri kita.”
“Jangan kita merasa kita sudah tahu segala-galanya sehingga kita enggan untuk belajar ilmu baru dan tidak mahu menerima teguran atau nasihat daripada orang lain,” katanya.
Menurutnya, sama seperti para peniaga lain yang berdepan dengan pelbagai cabaran dalam perniagaan, beliau juga mengalami situasi yang sama, terutamanya semasa mula berniaga pada tahun 2009.
“Antara masalah yang saya hadapi ialah untuk mencari pekerja. Ini kerana perniagaan saya perlukan ramai kakitangan agar tugas dapat dibahagi-bahagikan supaya operasi perniagaan berjalan dengan lancar,”
“Tapi disebabkan susah sangat nak cari pekerja, saya sendiri terpaksa meluangkan masa yang agak panjang di kedai iaitu dari pukul 10 pagi sehingga perniagaan ditutup pada pukul 10 malam. Bayangkan macam mana penatnya saya pada masa itu,” ujarnya.
Selain itu jelasnya, beliau juga tidak ada rakan-rakan yang boleh dibawa berbincang tentang perniagaan yang dijalankan, atau sekurang-kurangnya boleh dipercayai untuk menjadi tempat meluah perasaan ketika berdepan dugaan yang berat.
“Hal itu menyebabkan mental saya cepat down. Kita ni ada masanya perlukan kawan untuk bercerita tentang cabaran yang kita rasai sebagai peniaga. Tapi kita tak boleh cerita dengan sembarangan orang kerana silap-silap, hanya kata-kata negatif yang kita dapat dan akhirnya kita juga yang akan patah semangat,” katanya.
Suhaila juga memberitahu, satu lagi kelemahan yang ada dengannya ialah beliau kurang keyakinan diri dan sering memandang rendah terhadap keupayaannya sendiri.
Suhaila bagaimanapun bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mempertemukannya dengan RichWorks dan Datuk Wira Dr. Azizan Osman kerana beliau akhirnya berpeluang untuk meningkatkan keyakinan dirinya, selain mempelajari banyak ilmu perniagaan.
“Saya lihat di media sosial, ramai peniaga berjaya selepas menyertai program-program RichWorks dan di situlah timbul keinginan saya untuk mengikuti program-program yang dikendalikan oleh Dr. Azizan.”
“Program Titanium adalah program yang paling banyak membawa perubahan ke dalam hidup dan perniagaan saya. Kata-kata semangat tidak putus-putus diberikan oleh Dr. Azizan mahupun ahli-ahli Titanium.”
“Teknik-teknik berniaga, pemasaran dan bagaimana menjadi seorang usahawan yang berilmu serta bermanfaat untuk orang lain turut didedahkan dalam program tersebut.”
“Berdasarkan ilmu yang diperoleh, saya memantapkan lagi organisasi perniagaan saya dengan membentuk pasukan jualan dan hasilnya, pendapatan jualan saya meningkat lebih 200 peratus,” jelasnya.
Hasil jualannya katanya meningkat sehingga RM25 ribu kemudian menjadi RM200 ribu dan dalam masa setahun menyertai program itu, keuntungan jualannya melonjak sehingga melebihi RM1 juta setahun.
Kini ujarnya, beliau juga mempunyai kira-kira 1,200 ejen yang bersama-sama beliau membantu membangunkan perniagaan, selain menjadikan produknya sebagai penjana pendapatan bulanan.
Menurut Suhaila, kehidupan peribadinya juga berubah selepas menyertai program itu apabila beliau turut mampu menghantar ibunya yang sakit mendapatkan rawatan di hospital swasta, selain memberi wang saku setiap bulan.
Kalau dulu katanya, untuk membayar ambulan ketika ibunya sakit pun beliau tidak mampu, malah jumlah wang bulanan yang diberikannya kepada ibunya juga tidak pernah lebih daripada RM300.
“Saya sangat bersyukur atas segala nikmat Allah ini. Dengan rezeki yang Allah berikan, saya bertekad untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan agar mereka juga dapat merasai sedikit kegembiraan, sama seperti orang lain,” ujarnya.
Memetik kata-kata mentornya Dr. Azizan, Suhaila berkata antara penghalang untuk seseorang itu maju dan mencapai kejayaan selalunya adalah disebabkan oleh sikap diri sendiri. Kalau sendiri bersikap malas dan suka memberi alasan, ia tidak akan membawa ke mana-mana.
“Untuk mulakan perniagaan juga kita perlu ada perasaan suka dengan apa yang kita buat. Jangan lakukan hanya kerana terpaksa atau dipaksa. Percayalah jika itu yang terjadi, maka perniagaan tersebut tidak akan mampu bertahan.”
“Dalam perniagaan, kita adalah kapten yang menentukan hala tuju sama ada ia akan ‘tenggelam’ atau berjaya sampai ke destinasi. Terpulang kepada kita sejauh mana kita mahu bersungguh-sungguh mengusahakan perniagaan kita,” nasihat beliau.