Jika disebut pasal pekasam, pasti ramai terbayang makanan peram tradisi yang agak terkenal di Malaysia, terutama di negeri utara Semenanjung tanah air itu.
Namun, siapa sangka makanan ini yang suatu ketika dahulu jarang dikomersialkan, kini mampu memberi pulangan lumayan kepada Balkis Mohd Suib, pengasas Putra Afiq Global Sdn Bhd, menerusi produk pekasam daging, Hakak Maneh.
Apa yang menarik, Balkis yang juga kerani di sebuah sekolah berkata, beliau memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan empat tahun lalu dengan niat untuk membantu suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori, menambah pendapatan.
“Setiap kali suami keluar bekerja mencari rezeki, hati saya tidak tenang dan tidur pun tak lena kerana bimbang dengan keselamatannya. Di situlah saya mula menjual pekasam sebab tak nak suami saya menanggung risiko setiap hari di atas jalan raya,” katanya.
Suatu hari jelasnya, perkara yang selalu dibimbangi akhirnya benar-benar terjadi apabila suaminya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan mengalami kecederaan parah.
“Sejak peristiwa itu, saya nekad mahu memajukan lagi perniagaan pekasam daging agar menjadi sumber pendapatan keluarga. Saya mahu suami berhenti kerja dan tidak perlu memandu lori lagi,” katanya mengimbau saat awal dia memulakan perniagaan.
Bermula dengan 50 pek pekasam setiap hari, kini Balkis sudah mampu memiliki kilang sendiri di Perak dan mengeluarkan kira-kira 5,000 hingga 6,000 pek pekasam setiap hari. Jika dahulu hanya dia dan suaminya yang mengusahakan bisnes itu, kini beliau mempunyai 20 orang pekerja untuk membantunya.
“Produk kami semakin mendapat tempat dalam pasaran dan menerima permintaan yang menggalakkan daripada masyarakat, khususnya golongan suri rumah. Saya juga dapat membantu ramai orang apabila melantik kira-kira 2,500 ejen,” katanya.
Ditanya mengapa beliau memilih pekasam daging sebagai produk beliau, menurutnya beliau pada mulanya menjual produk-produk kecantikan sehinggalah suatu hari beliau menonton video Datuk Wira Dr. Azizan Osman.
Dalam video itu, Dr. Azizan menasihatkan bahawa jika seseorang itu mahu berniaga, sebaiknya lakukanlah ‘apa yang ada di tangan’ mereka.
“Masa itu saya terfikir yang saya tahu membuat pekasam. Tapi bolehkah saya jual pekasam ni? Ada ke orang yang nak makan pekasam hari-hari?,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyahut juga saranan Dr. Azizan itu dan mula mempromosikan makanan tradisi tersebut di laman Facebook. Ketika itu, beliau hanya menawarkan 50 paket pekasam sahaja untuk dijual kepada sesiapa yang berminat mahu mencubanya.
“Masa tu saya post kat Facebook, ‘okay siapa nak rasa pekasam akak, boleh komen kat bawah’. Eh tiba-tiba masuk order 30 paket. Lepas tu order naik ke 70 paket. Sampai esok pagi naik ke 130 paket.”
“Saya terkejut dan mula terfikir, mana saya nak cari daging ni? Dari situ saya mula follow video-video Dr. Azizan dan terus menjual pekasam daging saya. Jualan juga semakin menguntungkan,” katanya.
Tidak lama selepas itu ujarnya, beliau memutuskan menyertai program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) dan selepas program itu, hasil jualanya meningkat daripada kira-kira RM20 ribu sebulan ke RM70 ribu sebulan.
Balkis kemudiannya menyertai lagi satu program RichWorks iaitu Millionaire Marketing Mastery (MMM) dan jualannya meningkat lagi sehingga kira-kira RM200 ribu sebulan.
“Masa tu rumah saya macam nak ranap. Peti ais saya dah tak muat. Waktu tu cuma saya dan suami yang buat bisnes ni. Saya sendiri macam tak percaya dapat jualan macam tu. Padahal saya jual pekasam je pun. Harga pun cuma RM10 sepaket,” katanya.
Balkis kemudiannya mencadangkan kepada suaminya agar mereka membuka sebuah kilang dan menggaji pekerja agar permintaan pelanggan dapat dipenuhi. Ketika itu rumah mereka juga sudah tidak muat untuk menampung stok daging dan pekasam.
Di peringkat awal jelasnya, suaminya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana takut tidak mampu menanggung komitmen, tetapi beliau meyakinkan suaminya dan akhirnya sebuah kilang berjaya dibuka. Mereka juga turut menggaji pekerja di kilang itu.
“Saya kemudiannya ditawarkan oleh RichWorks untuk menyertai program Mentoring Titanium. Mula-mula saya tak rasa saya ada masa nak join sebab masa tu saya masih lagi bekerja di sekolah. Tapi Allah SWT aturkan semuanya dan saya dapat menyertai program berkenaan,” katanya.
Menurut Balkis, di dalam program itu beliau mendapat lebih banyak ilmu tentang cara menguruskan perniagaan serta bagaimana untuk memperbetulkan kesilapan, selain teknik-teknik marketing yang berkesan.
Paling bermanfaat katanya ialah apabila di program itu adanya circle Titan yang saling bantu-membantu dalam memajukan perniagaan dan tidak lokek berkongsi nasihat, tips dan kata-kata semangat.
Daripada program itu jelasnya, capaian jualannya terus meningkat dan pada tahun 2020, capaian jualannya mencecah RM4 juta manakala dalam tempoh 9 bulan pertama tahun 2021, hasil jualannya juga sudah pun mencecah RM2.5 juta.
“Saya amat bersyukur atas rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kami sekeluarga. Semua ini juga adalah berkat tunjuk ajar dan bimbingan daripada Dr. Azizan, circle Titan, RichWorks dan kerja keras kakitangan serta pasukan jualan produk saya,” ujarnya.
Menurut Balkis, beliau juga gembira kerana suaminya kini tidak lagi perlu bekerja sebagai pemandu lori, tetapi dapat bersama-sama dengannya menguruskan perniagaan yang mereka dijalankan.
“Kalau dulu suami saya selalu takde kat rumah kerana bekerja memandu lori. Waktu malam saya kat rumah, dia takde kat rumah. Bila siang time saya pergi kerja, dia pula baru balik dari bekerja. Jadi kami jarang ada masa bersama-sama,” katanya.
Namun hari ini ujarnya, mereka mempunyai lebih banyak masa bersama-sama dan yang lebih beliau syukuri, beliau juga mempunyai pendapatan untuk membantu keluarga, terutamanya ibu bapanya dan ibu bapa mertuanya di kampung.
Kini matlamatnya jelasnya ialah ingin membantu kakitangan, stokis dan ejen-ejennya agar mereka juga dapat mempertingkatkan pendapatan, selain mencapai apa jua yang mereka impikan.
Balkis berpesan, jika ingin berjaya dalam perniagaan, seseorang itu harus tahu hala tuju dan matlamatnya dengan jelas dan yang paling penting sekali, sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan agar perniagaan yang dijalankan terus berkembang maju.