Kisah kejayaan ‘wanita emas’ yang berasal dari Kelantan ini perlu dirungkai menjadi panduan buat golongan hawa terutamanya bagi mereka yang betul-betul minat berniaga dan mahu berjaya.
Malah, kisahnya juga boleh dijadikan iktibar kepada mereka yang kini berdepan dugaan atau cabaran agar terus cekal demi meneruskan kelangsungan hidup.
Bagi pemilik Kedai Emas Adriana Gold, Fatin Adriana Mohd. Mazri, kehilangan suami sebagai tempat bergantung bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi peranan yang harus dipikulnya bagi menggantikan tempat arwah.
Tersentak dengan peristiwa yang berlaku pada tahun 2018, beliau nekad untuk bertindak dan menggalas tanggungjawab sebagai ketua yang perlu menyara keluarga.
Fatin dalam masa yang sama turut berdepan pelbagai ujian termasuk masalah kewangan sehingga dipandang hina masyarakat dan perlu berdepan stigma negatif yang banyak dilemparkan kepadanya sebelum ini.
Statusnya sebagai ibu tunggal sedikit sebanyak turut membuatkan segelintir masyarakat memandang sinis dan tidak yakin dengan kemampuannya untuk berdikari.
Beliau akhirnya berjaya membuktikan bahawa pandangan tersebut adalah silap sama sekali selepas berjaya membina empayar perniagaan sendiri.
Menurut wanita ini, realitinya bukan mudah untuk beliau sampai ke tahap sekarang selepas menempuhi pelbagai ranjau dan onak berduri.
“Cacian orang tidak sama sekali mempengaruhi semangat saya, apatah lagi selepas mendapat dorongan keluarga yang banyak memberi dorongan dan membantu terutama daripada aspek moral.”
“Apa yang saya buat ini adalah atas usaha sendiri dan semuanya bermula disebabkan minat berniaga dan mahu berjaya,” katanya dengan penuh semangat.
Kini, dengan memiliki kedai emas, wanita ini bukan sahaja berjaya merubah nasib dirinya, tetapi kedua ibu-bapanya, dan beliau lebih selesa berniaga serta menguruskan perniagaan barangan kemas yang dimiliki, berbanding bekerja dengan orang lain.
“Alhamdulillah, dengan hasil kerja keras, saya dapat keluarkan keluarga daripada kepompong kemiskinan dan berikan mereka kemewahan walaupun pada awalnya saya sendiri tidak pernah terbayang untuk berada di tahap sekarang.
“Malah, saya juga kini dalam perancangan untuk membina rumah untuk keluarga dan belikan mereka kereta idaman iaitu sebuah Toyota Alphard.”
Beroperasi di Kota Bharu, Kelantan, koleksi emas Adriana Gold mengutamakan trend semasa dan up to date serta membantu wanita agar tampak lebih terserlah keayuan dengan memakai emas ukiran viral.
Dalam pada itu, Fatin berkata, produk Kedai Emas Adriana Gold bukanlah satu-satunya bidang perniagaan yang diceburinya sebelum ini dan beliau tidak bermula dengan begitu senang atau menjalankan perniagaannya dalam skala yang besar.
Sebaliknya beliau pada mulanya hanya menjadi dropship kepada perniagaan orang lain.
Malah perjalanan perniagaannya juga bukan mudah dan pernah berdepan pelbagai cabaran dan dugaan termasuk ditipu pembekal emas sebanyak RM10 ribu selain pernah berniaga sayur dengan pendapatan RM20.
“Selain ditipu, saya juga pernah mengikut mak cik menjual sayur-sayuran di pasar. Itu antara barangan pertama yang saya jual. Kemudian saya menjual sosej di depan sekolah semata-mata untuk mencari duit perkahwinan. Saya tidak pernah kisah dengan apa yang orang kata.”
“Walaupun pada masa itu apa yang saya lakukan bukanlah satu perniagaan besar, tapi pada saya ia pengalaman yang cukup berharga untuk saya terus mengorak langkah maju ke hadapan sebagaimana saya hari ini. Alhamdulillah pengalaman tersebut begitu banyak mengajar saya,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Fatin berkata, sejak memulakan perniagaan emas, beliau mampu mencapai keinginan dan impian yang mahu dikecapi sejak dulu serta membuatkan keluarganya bangga.
“Kini saya hampir bebas daripada dibelenggu masalah kewangan dan mampu membeli kereta idaman serta bercuti bersama keluarga hampir setiap bulan.”
“Saya juga dapat mengimbangi kehidupan antara tuntutan kerja dan juga aktiviti sosial. Apa yang menggembirakan, saya juga mampu memberi kehidupan selesa kepada kedua ibu bapa saya. Itu sebenarnya yang lebih penting,” ujarnya.
Namun Fatin berkata, tanpa ilmu pengetahuan, seseorang itu sukar untuk berjaya dan menguasai bidang yang mahu diceburi sehingga berkemungkinan mendatangkan risiko besar termasuk kerugian apabila terlibat dalam dunia keusahawanan.
“Ilmu dan guru atau mentor perlu dicari. Ia tidak datang bergolek kepada kita. Saya sendiri pergi mencari ilmu dan tidak kisah dengan segala usaha yang dicurahkan demi memastikan bekalan ilmu saya cukup.”
“Perlu diingat, semua orang boleh berniaga tetapi tidak semua orang boleh konsisten melakukannya, lebih-lebih lagi di saat penularan Covid-19 yang masih berlaku. Kita sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang,” katanya memberi nasihat.
Mengimbas kembali bagaimana beliau ‘terjebak’ dengan program di bawah kendalian RichWorks dan Datuk Wira Dr. Azizan Osman, Fatin berkata, segalanya bermula pada tahun 2018.
Pada tahun tersebut beliau menyertai program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) dan nilai jualannya selepas itu meningkat daripada RM30 ribu kepada RM150 ribu.
“Program ini banyak merubah diri saya terhadap orang tua dan hubungan saya dengan Allah SWT. Saya masih ingat antara kata-kata Dr. Azizan, meskipun sibuk dengan perniagaan yang dijalankan, jangan sesekali mengabaikan hubungan dengan Allah SWT, dengan orang tua dan sesama manusia. Bermula dari situ, saya terus jatuh cinta dengan RichWorks.”
“Selepas itu, pada tahun 2019, saya mula mendaftarkan diri pula ke dalam program Mentorship SPIRE dan di situ banyak perubahan positif berlaku dalam hidup dan keluarga saya.”
“Dalam SPIRE, banyak perkara yang saya pelajari dan saya sendiri melihat ada perubahan daripada segi jualan. Kalau dulu ia sekitar RM150 ribu sebulan, selepas itu hasil jualan saya mampu mencecah sehingga RM700 ribu sebulan. Program ini juga banyak mengubah hidup saya dan keluarga. Saya juga dapat membeli sebuah kenderaan jenis Vellfire serta memenuhi impian mak saya.”
“Apabila perubahan berlaku secara konsisten, saya tanpa berfikir panjang mendaftar masuk program circle Titanium kerana saya mahu terus maju dan berada di tahap yang lebih selesa. Saya juga inginkan lebih banyak perubahan pada diri saya dan perniagaan saya.”
“Saya percaya, jika hidup saya bertambah baik hasil daripada ilmu yang dimiliki dan diamalkan, saya juga akan dapat memberi manfaat kepada orang lain. Alhamdulillah, dengan menyertai RichWorks ini saya dapat rasakan kehidupan saya semakin luar biasa dan sentiasa bersemangat. Terima kasih Dr. Azizan kerana sudi menerima anak murid seperti saya.”
Tambah Fatin, RichWorks juga banyak membantu ketika saat diperlukan atau berdepan masalah yang dihadapi kerana para peserta lain turut tanpa rasa jemu sudi berkongsi pengalaman serta turut memberi bimbingan secara berterusan.
Dalam perkembangan lain, Fatin turut menasihati kepada sesiapa sahaja yang mahu berjaya agar tidak sesekali berputus asa atau mengenal erti kalah.
“Kejayaan boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang. Pilihan terletak di tangan kita sendiri. Semua orang ada pilihan sama ada mahu berjaya atau sebaliknya. Saya sendiri daripada keluarga susah dan pernah dikutuk macam-macam hanya kerana berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.”
“Yang paling penting, jangan sesekali tinggalkan ilmu kerana ia amat mustahak dan asas kepada kejayaan. Di samping itu, berfikir dan bertindaklah dengan bijak dalam apa jua yang kita lakukan,” ujarnya.