Bagi yang mengenali dua beradik ini, Yusmaniza dan Nurrussila Zulkifli, pasti akan terbit rasa kagum di dalam diri kerana kisah hidup mereka mampu memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang mahu berjaya dalam dunia perniagaan.
Yusmaniza dahulunya adalah pegawai di salah sebuah bank yang terkemuka di negara ini manakala Nurrussila pula adalah seorang konsultan untuk sebuah syarikat swasta yang terlibat dalam bidang kejuruteraan.
Kedua-dua mereka mengambil langkah berani apabila nekad berhenti kerja, sebelum kedua-duanya bergabung mengasaskan Sugarsista Enterprise, sebuah syarikat menjual kain sulam pada pada tahun 2012.
Merungkai kisah salah seorang pengasas Sugarsista Sdn Bhd, Yusmaniza berkata, beliau masih ingat bagaimana terpaksa membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai pegawai bank ketika prestasi kerjayanya sedang memuncak.
Menurutnya wanita yang berasal dari Taiping, Perak ini, tindakan nekad tersebut terpaksa diambil selepas permohonan cuti tiga bulan tanpa gaji untuk menjaga anaknya yang sakit ditolak.
“Saya hanya diberi cuti tanpa gaji sebulan sahaja oleh majikan, sedangkan pihak hospital mencadangkan sekurang-kurangnya tempoh tiga bulan diperlukan untuk menjaga anak saya.”
“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan dengan perasaan berat hati, melepaskan jawatan yang disandang, lebih-lebih lagi apabila memikirkan tanggungjawab seorang ibu terhadap anak ,” katanya ketika menceritakan permulaannya dalam perniagaan.
Ketika sepanjang tempoh dibenarkan bercuti sebulan tanpa gaji, Yusmaniza berkata, selain bimbang kesihatan anaknya, beliau turut resah memikirkan kedudukan kewangannya, lebih-lebih lagi untuk membeli keperluan harian anaknya terutama susu.
Risau dengan sebarang kemungkinan termasuk ketiadaan wang pada masa akan datang, Yusmaniza mula berfikir cara terbaik untuk mencari pendapatan tambahan, bagi menampung perbelanjaan untuk menguruskan anaknya.
“Ada satu ketika apabila anak saya dibenarkan keluar daripada hospital, doktor mencadangkan agar saya membeli mesin oksigen berharga kira-kira RM6,500. Tapi saya tiada duit pada waktu itu dan terpaksa meminjam pada adik saya.
“Daripada situ saya tersentak kerana walaupun bekerjaya, saya tidak mampu membeli mesin oksigen. Dengan semangat kental, saya mula mengatur langkah perlahan-lahan sehingga saya mencapai kejayaan dan di tahap saya berada sekarang,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, minatnya terhadap dunia perniagaan dan keinginan untuk menjadi usahawan sebenarnya telah mula tercetus ketika beliau masih berkhidmat sebagai seorang pegawai bank.
“Semasa saya bekerja di bank, saya banyak kali berhadapan dengan pelanggan yang datang dari pelbagai latar belakang. Semasa menguruskan mereka, saya kagum melihat ada yang mempunyai jumlah simpanan wang yang sangat banyak hasil dari berniaga.”
“Saya juga dapat melihat perkembangan perniagaan mereka secara lebih dekat dan mereka kadang-kala bercerita dengan saya apa yang mereka lakukan sehingga perniagaan mereka bertambah maju dan memberikan pulangan yang lumayan,” kata Yusmaniza.
Dari situlah jelasnya cita-citanya untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya tercetus kerana beliau mahu mengubah nasib keluarganya, apatah lagi bila beliau terkenangkan betapa susahnya ayah dan ibunya membesarkan mereka lima beradik.
Bagi Nurrussila pula, pekerjaannya sebelum ini sebagai konsultan hanya mampu bertahan selama enam bulan sebelum memutuskan untuk pulang ke kampung bagi membantu ibunya berniaga.
“Sewaktu di kampung, saya sering kali melihat abang saya berulang alik ke Guangzhou, China untuk mengambil stok barang-barang untuk dijual. Hal itu menimbulkan minat saya dan saya juga akhirnya mahu menceburi dunia perniagaan,” katanya.
Menceritakan bagaimanakah mereka semasa mula berniaga, Yusmaniza memberitahu bahawa pada masa itu mereka berdua hanya mempunyai RM500 dan wang itulah yang dijadikan sebagai modal pertama untuk membuka perniagaan.
“Dengan duit RM500 itu, kami gunakan untuk membeli 20 pasang kain dan kemudian kami jual kepada kawan-kawan melalui platform media sosial Facebook. Permintaan agak menggalakkan.”
“Kemudian, beberapa tahun selepas itu, kami menukar pula produk kami iaitu dengan menjual pakaian siap jahit atau ready made dengan jenama tunik.my. Alhamdulillah, sambutan sangat baik dan bisnes kami mula berkembang dan dikenali ramai” katanya.
Ketika itu juga kata beliau, mereka telahpun membuka sebuah syarikat Sendirian Berhad yang dinamakan Sugarsista Sdn Bhd pada tahun 2016.
Namun begitu, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan kerja keras. Jatuh bangun dan cabaran yang getir pastinya tidak lepas untuk dilalui oleh peniaga yang telah berjaya! Itulah juga yang dilalui oleh Yusmaniza dan Nurrussila dalam perjalanan mereka menjadi antara usahawan yang berjaya di negara ini.
Menceritakah kisah getir mereka dalam perniagaan, mereka memberitahu bahawa pernah satu ketika, perniagaan mereka jatuh teruk dan keuntungan jualan merosot sama sekali. Perkara itu tidak pernah dialami mereka sebelum itu dan peristiwa tersebut benar-benar memberi kesan yang mendalam kepada diri mereka.
“Cuba bayangkan, pada masa itu di dalam poket kami hanya ada duit syiling sahaja sebab bisnes jatuh merudum dan syarikat kami mengalami kerugian yang besar. Kami betul-betul down kerana kami sendiri terpaksa mengikat perut kerana tidak ada duit selepas selesai membayar gaji pekerja,” kata Yusmaniza.
Setelah itu, mereka berdua berbincang dan cuba mencari dan mengkaji di manakah silapnya mereka sehingga perniagaan yang pernah maju seketika, tiba-tiba menjadi sebuah perniagaan yang tidak menguntungkan.
“Setelah puas berfikir, akhirnya kami berdua menyedari bahawa terdapat satu perkara yang menjadi kelemahan utama kami. Kami tidak ada ilmu. Dan kami selama ini tidak berusaha melengkapkan diri kami dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan,” ujarnya.
Bagi mengatasi kelemahan yang dimiliki, kedua-dua mereka kemudiannya menyertai program RichWorks iaitu program Intensif Magnet Kekayaan & Kejayaan (IMKK) pada tahun 2018.
“Sejak menyertai program itu, barulah kami benar-benar tahu apakah masalah yang menjadi punca perniagaan kami tidak meningkat seperti perniagaan orang-orang lain. Di program itu jugalah akhirnya kami ‘mendapat rentak’ dalam melaksanakan perniagaan,” kata beliau.
Mereka kemudiannya menyertai pula program Millionaire Marketing Mastery (MMM) dan hasil mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh, hasil jualan mereka meningkat ke nilai RM800 ribu.
“Tidak cukup dengan MMM, kami join pula program Mentoring Titan di RichWorks dan setelah itu jualan kami mencecah RM4.1 juta pada tahun 2019 dan pada tahun 2020, ia bernilai RM10 juta walaupun pada tahun tersebut kerajaan melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.
“Kunci utama kejayaan seseorang usahawa ialah rasa sabar dan tabah. Selain itu, dapatkan ilmu yang lengkap sebagai bekalan sebelum ‘terjun’ ke dunia perniagaan. Dengan ilmu, kita akan lebih bersedia mendepani cabaran dan apa jua kemungkinan, serta perlu kreatif mencari penyelesaian kepada apa jua masalah yang timbul,” nasihat beliau di akhir perbualan.