Tidak kira apa sahaja latar belakang seseorang individu itu, asalkan dia ada usaha, kesungguhan dan niat yang betul, segala impian dan cita-cita pastinya boleh dicapai.
Ini kerana kejayaan tidak pernah mengenal status atau latar belakang seseorang individu, yang penting segalanya datang daripada kemahuan diri sendiri.
Bagi Siti Nur Zulaikha Mohd. Rosli, beliau memulakan langkah pertamanya menceburi bidang perniagaan ketika sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam bidang Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Shah Alam, Selangor.
Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang rasa bimbang kedua ibu bapanya yang tidak mahu jika perniagaan yang dijalankan tidak berjaya, pelajaran pula tidak dapat dihabiskan. Mereka tidak mahu ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.
Walaupun kebimbangan yang dizahirkan keluarganya itu ada asasnya, Zulaikha tekad dan perlahan-lahan cuba menyakinkan mereka.
“Masa awal-awal dulu, mereka tidak kisah apabila saya menyatakan hasrat untuk memulakan perniagaan sambil belajar. Akan tetapi, selepas saya mengambil keputusan untuk tangguhkan pengajian, ibu bapa saya mula bimbang.”
“Mereka kerap kali menasihatkan saya supaya fokus kepada pelajaran terlebih dahulu dan bukannya berniaga. Mereka bimbang sekiranya perniagaan yang saya jalankan tidak menjadi dan pelajaran pula ‘tersangkut’ di tengah jalan.”
“Jadi saya berusaha yakinkan bahawa saya mampu menyeimbangkan kedua-duanya. Secara kebetulan, ketika itu pam air di rumah kami rosak. Tanpa berfikir panjang, saya terus tukar mesin yang berharga RM1,000 dengan wang hasil daripada keuntungan saya menjalankan perniagaan.”
“Mereka nampak terkejut, tetapi terharu kerana tidak menyangka yang saya berupaya membantu mereka walaupun ketika itu saya masih belum tamat pengajian,” katanya.
Menurut Zulaikha, selepas daripada peristiwa tersebut, kedua ibu bapanya mula percaya dengan kemampuan anak perempuan mereka, lantas memberi restu dan yakin tindakan beliau menceburi bidang perniagaan adalah satu langkah yang tepat.
“Kedua ibu bapa saya juga langsung tidak bertanya apa-apa selepas itu. Mereka yakin selepas melihat perniagaan yang saya usahakan mampu membantu menampung keperluan keluarga,” ujarnya.
Mengimbas kembali detik awalnya berniaga dan bergelar usahawan, Zulaikha berkata, beliau memulakan perniagaannya ketika berada di semester kedua untuk mencari pendapatan tambahan bersama-sama temannya yang kini sudah bergelar suaminya.
“Saya perlu mencari pendapatan tambahan. Walaupun saya menerima biasiswa untuk menyara kos hidup, tetapi ia tidak mencukupi lebih-lebih lagi tinggal di Shah Alam ini. Selain menambah pendapatan, saya juga mahu membantu pelajar dan graduan lain mencari duit poket sendiri dengan menjadi dropshipper,” jelasnya.
Dengan berbekalkan tawakal dan doa, Zulaikha terus membuat pendaftaran syarikat Zarzou Holdings (M) Sdn Bhd, yang sehingga kini masih teguh berdiri dan berkembang sehingga berjaya mencatatkan pendapatan dan hasil jualan yang agak tinggi.
Namun Zulaikha berkata, walaupun dia memberitahu orang tuanya bahawa beliau boleh menyeimbangkan di antara pelajaran dan perniagaan, tetapi jauh di sudut hatinya dia sendiri sebenarnya rungsing dan risau jika beliau tidak dapat melakukannya.
“Jauh di dalam hati, saya sendiri sebenarnya takut juga jika saya tak dapat fokus kepada kedua-duanya. Saya ini datang dari keluarga susah dan anak sulung pula tu, kalau saya gagal kedua-duanya, macam mana saya nak bantu keluarga?”.
“Tapi saya berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT agar membantu saya mencapai kejayaan. Saya juga berusaha membahagi masa sebaiknya,” jelasnya.
Rasa bimbangnya jika perniagaannya tidak berjalan dengan lancar sebenarnya adalah kerana beliau tahu yang dirinya tidak memiliki ilmu perniagaan yang cukup.
Sedar dengan kekurangan yang ada pada dirinya, Zulaikha kemudiannya mendaftar untuk menyertai program SPIRE anjuran RichWorks yang diasaskan oleh Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman.
“Sebelum itu saya terjumpa salah seorang daripada peserta SPIRE dan saya meminta pandangannya kerana saya nampak beliau mempunyai aura yang begitu positif selepas menyertai program SPIRE.”
“Dia kemudiannya berkongsi info dengan saya tentang cara program itu dijalankan dan bagaimana ia memberi manfaat kepada golongan usahawan. Saya menjadi tertarik dan saya terfikir bahawa ada keperluan untuk saya bertindak dan menyertainya,” katanya.
Di peringkat awal katanya, beliau hanya ingin menyertai program SPIRE, tetapi selepas program itu, pihak RichWorks mempelawanya pula untuk menyertai program Mentoring Titanium kerana dia mempunyai kelayakan untuk menyertainya.
“Selepas mendapat penjelasan tentang apakah sebenaarnya program terbabit, saya tanpa berlengah masa atau berfikir panjang terus bersetuju untuk menyertainya.”
“Ini kerana saya percaya dan yakin yang saya akan diberikan bimbingan yang lengkap dan hal itu sudah tentu memberi faedah kepada diri dan keluarga saya,” katanya lagi.
Untuk rekod, syarikat yang diusahakan oleh Zulaikha menjalankan perniagaan menjual produk kosmetik, penjagaan kulit wajah serta kecantikan.
Menceritakan pengalamannya menyertai program-program RichWorks, beliau berkata bahawa dia dapat merasakan yang program itu membimbingnya dengan penuh komited dan seringkali mengingatkan tentang apa yang perlu dibuat agar perniagaan terus berganjak dari satu bahagian ke bahagian yang lain.
“Apabila saya menyertai program Titan, saya sentiasa diingatkan tentang apa yang perlu dirancang dan perlu dibuat dalam perniagaan saya, baik untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.”
“Saya turut diajar bagaimana mengurus pejabat, contohnya dari aspek sumber manusia, stokis dan juga jualan. Kalau dulu saya rasa segan untuk memimpin atau menegur kakitangan yang lebih berusia, sekarang saya sudah tahu teknik atau caranya.”
Selepas menyertai program Titan, beliau sedar bahawa terdapat perubahan yang dialaminya termasuk dari segi sikap, percakapan dan caranya berfikir. Kini beliau juga semakin positif dan bersemangat.
“Perubahan yang saya alami dalam masa yang sama memberi kesan kepada jumlah peningkatan jualan produk saya iaitu daripada RM3.2 juta pada tahun 2020 kepada RM4.5 juta pada tahun 2021.”
Dengan perolehan tersebut, ia secara tidak langsung membawa kesan positif ke dalam diri Zulaikha dan kini beliau bersemangat untuk turut membantu orang lain.
Zulaikha juga berpesan supaya seseorang individu itu tidak bersikap sombong terutama dalam mencari ilmu, sebaliknya perlu berfikiran terbuka dan bersedia untuk menerima apa jua ilmu yang ingin dibekalkan kepada mereka.
“Kita masih zero. Apa yang dipelajari dalam kelas mungkin sedikit sebanyak membantu kita dalam urusan perniagaan seharian. Tetapi ingat, pengalaman dan nasihat daripada orang ‘lama’ adalah sangat penting kerana ia boleh membimbing kita untuk lebih berjaya,” katanya.