Di sebalik gayanya yang peramah dan petah berkata-kata, tiada siapa menyangka yang Ketua Pegawai Operasi Twin Plastics Industries Sdn Bhd, Catherine Dumas ini pernah melalui keperitan hidup semasa zaman persekolahannya.
Paling menyedihkan ketika pelajar sebayanya hanya sibuk memikirkan tentang pelajaran, tidak bagi Catherine yang terpaksa membanting tulang, mencari wang bagi menampung yuran persekolahan dan membantu keluarga.
Anak jati Tamparuli, Sabah ini pernah menjual empat keping getah sekerap semata-mata untuk membayar yuran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selain itu, Catherine juga pernah terpaksa menumpang di rumah saudara mara atau kenalannya untuk memudahkan segala urusan persekolahannya.
“Rumah saya jauh dalam hutan belantara dan saya sekeluarga tinggal dalam kawasan pedalaman. Sebab itu ketika saya belajar dari sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah, masa saya banyak dihabiskan dengan menumpang di rumah orang lain.
“Tambahan pula jarak rumah saya ke sekolah adalah sejauh 30 kilometer. Jadi selalunya untuk jimatkan masa dan tenaga saya hanya menumpang rumah orang sahaja,” katanya.
Cebisan pengalaman yang beliau lalui itulah yang berjaya membentuk karakternya untuk menjadi seorang wanita yang berhati kental dan tabah, termasuk ketika menyambung pelajarannya ke universiti terkemuka di Sarawak.
Ketika belajar di negeri tersebut, Catherine pernah gagal dalam satu subjek berkaitan costing dan itu memaksa beliau menyambung pelajaran di Shah Alam, Selangor dan melupakan seketika niatnya untuk balik ke Sabah, selepas tamat pengajian.
“Perkara itu telah mengubah rancangan asal saya sebelum ini untuk pulang semula ke Sabah. Saya terpaksa mengulang satu subjek yang gagal di kampus Shah Alam. Ketika melanjutkan pengajian di sana, saya juga bekerja secara sambilan di Klang.”
“Semasa berada di Semenanjung, saya bertemu pula jodoh dengan seseorang dan kami pun berkahwin. Tapi perkahwinan kami simple sahaja. Kami hanya mendaftarkannya di pejabat kerajaan dan tidak ada majlis resepsi dibuat,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berazam untuk mengadakan majlis perkahwinannya suatu masa nanti, dengan lebih meriah. Selepas berkahwin, Catherine pun meneruskan kehidupan di Semenanjung Malaysia bersama suaminya, sambil bekerja di sebuah syarikat audit.
“Namun, satu peristiwa sedih menimpa saya semasa saya masih mengandungkan anak kami. Saya dipecat oleh majikan dan masa itu pula saya sedang menghadapi masalah kewangan. Insurans kereta saya juga sudah tertunggak selama 3 bulan,” ujarnya.
Dalam keadaan yang buntu itu, Catherine nekad membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Tamparuli, Sabah kerana beliau mahu kembali memotong getah. Beliau mahu mencari wang untuk membayar semua hutang-hutangnya.
“Sampai di Sabah, saya mula kembali memotong getah di kebun. Tapi kerana suami saya berada di Kuala Lumpur, hasrat saya itu jadi terbantut. Akhirnya saya terbang semula ke sana untuk kembali menetap bersama suami saya,” katanya.
Sebaik sahaja pulang ke ibu negara, Catherine dan suaminya berbincang tentang masa depan mereka dan hasil perbincangan itu, mereka memutuskan untuk cuba mencari rezeki melalui perniagaan, dengan menawarkan khidmat cetakan bungkusan plastik.
Kedua-dua mereka sebenarnya tidak ada pengalaman dalam bidang tersebut, tetapi berbekalkan keazaman dan keyakinan yang mereka boleh berjaya, mereka nekad membuka dan menjalankan perniagaan berkenaan.
Catherine mengakui, perjalanan perniagaan mereka di peringkat awal sangat berliku dan tidak mudah, selain memerlukan ketahanan mental yang tinggi dan kudrat yang banyak, terutama untuk menarik pelanggan menggunakan perkhidmatan mereka.
“Bayangkan, pada masa itu saya ketuk semua pintu kedai untuk bertanya jika mereka mahu mencetak bungkusan plastik. Tapi ramai yang tidak mahu. Malah ada pula yang bertanya jika saya warga asing kerana dialek Sabah saya terlalu pekat.”
“Saya akui memang susah juga mahu mencari pelanggan dan saya terpaksa pergi dari satu kedai ke kedai yang lain selama kira-kira 3 bulan,” katanya.
Tanpa mengenal penat dan lelah, usaha Catherine akhirnya berhasil apabila sebuah farmasi yang memiliki 41 buah cawangan telah bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikatnya.
Dari situ, perniagaannya semakin berkembang sehingga beliau mampu membuka dua buah kilang di Puchong. Keadaannya pada masa itu juga sudah boleh dikatakan selesa.
Demi untuk mengembangkan lagi syarikatnya, Catherine kemudian mengambil langkah seterusnya dengan membuka pula kilang ketiganya di Sungai Petani, Kedah.
Sangkaan beliau, kilang baharunya akan memberikan pulangan yang lebih banyak dan lumayan, tetapi ia ternyata silap apabila ramai pelanggan dan kakitangan berhenti serta menghilangkan diri, sekaligus menyebabkan perniagaannya mengalami kerugian.
Nasib Catherine bagaimanapun agak baik apabila suatu hari beliau terjumpa rakannya yang memberikan cadangan agar beliau cuba mengikuti program anjuran RichWorks dan Datuk Wira Dr. Azizan Osman pada tahun 2018.
Hasil kajian ringkas yang dibuat olehnya, beliau dapati program RichWorks telah banyak membantu golongan usahawan untuk terus mengorak langkah menuju kejayaan dan ekoran itu, beliau segera mendaftarkan diri untuk Millionaire Marketing Mastery (MMM).
Selepas MMM, keinginannya belajar menjadi agak kuat dan beliau memohon pula untuk menyertai program Titanium, yang menghimpunkan usahawan-usahawan dari pelbagai sektor dan membentuk mereka menjadi satu circle.
“Saya sangat seronok belajar di RichWorks kerana circle Titan sentiasa menyalurkan aura-aura positif dengan berkongsi pencapaian atau kisah kejayaan mereka. Itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berjaya dalam perniagaan,” katanya.
Sebelum belajar di RichWorks, beliau berniaga hanya dengan cara menunggu pelanggan datang ke premisnya. Namun selepas itu, beliau menjadi lebih kreatif dalam menyusun dan melaksanakan strategi pemasaran perniagaannya, hasil tunjuk ajar yang diberi.
Selain itu, jika dahulu Catherine adalah seorang yang pemalu, tetapi selepas menghadiri kelas, wanita ini sudah berani untuk berdiri di atas pentas dan boleh berucap di hadapan ramai orang. Lebih hebat lagi, beliau juga turut berkebolehan membuat sesi coaching.
Hasil daripada usaha dan kerja keras Catherine, perniagaan yang dijalankannya semakin hari semakin bertambah maju. Hal itu terbukti apabila pada tahun 2019, syarikatnya mencatatkan hasil jualan sebanyak RM2.19 juta dan seterusnya RM3.5 juta pada 2020.
Beliau turut berkongsi antara nasihat yang diterimanya di sepanjang beliau berada di bawah program RichWorks dan Dr. Azizan.
“Antara perkara yang mentor saya ajar ialah kita kena berpegang kepada dua prinsip iaitu sebaik-baik manusia adalah mereka yang bermanfaat kepada manusia lain. Kedua, kita mesti selalu berkongsi rezeki atau bersedekah kerana ia adalah magnet rezeki.”
“Saya sangat percaya perkara ini kerana saya sendiri melaluinya. Dahulu saya tidak mampu beri wang kepada ibu saya, tetapi selepas saya memberikan wang bulanan dan rajin bersedekah, rezeki saya semakin bertambah dan bisnes saya pula semakin maju.”
“Tapi harus diingat, sebelum kita mahu menyumbang kepada orang lain, pastikan diri kita betul-betul mampu terlebih dahulu sebelum berbuat demikian,” pesannya.
Catherine yang hari ini juga merupakan seorang pembimbing usahawan memberitahu bahawa ramai indvidu yang mengadu kepadanya yang mereka tidak memiliki semangat yang kuat untuk bertindak mengejar kejayaan.
Nasihat beliau, semua itu sebenarnya adalah datang dari diri sendiri dan setiap orang perlu mencari ‘tenaga’ yang boleh menjadi api yang akan membakar semangat mereka untuk lebih berjaya!