“Saya sempat menulis surat aku janji untuk ayah bagi membuktikan bahawa suatu hari nanti saya akan berjaya, sebelum ayah meninggal dunia.”
Itulah antara cebisan pengalaman dan detik yang paling tidak boleh dilupakan oleh Pengasas Carmelitaco Sdn Bhd, Carmelita Mohd Zain, ketika beliau baru ingin membuka perniagaannya yang berkaitan dengan industri fesyen pada tahun 2016.
Mengimbas kembali detik awal hasratnya untuk memulakan perniagaan, Carmelita memberitahu bahawa perjalanannya tidaklah mudah kerana hasratnya itu ditentang oleh ayahnya.
Namun, Carmelita yang ketika itu masih berkhidmat sebagai Pegawai Kaunseling di salah sebuah universiti terkemuka di negara ini, tekad untuk merubah kehidupannya dan mencari kepuasan daripada apa yang dilakukannya.
Walaupun kerjaya sebagai Pegawai Kaunseling itu pernah menjadi minat dan impiannya suatu ketika dahulu, tapi selepas berkhidmat sekian lama, Carmelita tahu beliau perlu berubah dan melakukan sesuatu.
Beliau sudah bosan menjalani kehidupan yang statik dan menghadap perkara yang sama setiap hari. Beliau mahukan sesuatu yang berbeza dan lebih mencabar!
“Ada satu masa tu saya rasa hidup saya betul-betul macam roda. Hari-hari pergi balik kerja semata-mata untuk buat benda yang sama. Dan benda ini sudah berlaku selama 10 tahun dan saya tidak mencapai kepuasan dalam kerjaya saya,” ujarnya.
Setelah berfikir masak-masak, pada 2016 Carmelita nekad mahu mengejar minat dan impiannya sejak kecil dan beliau bertindak meletakkan jawatan!
Tindakannya itu adalah kerana beliau mahu melibatkan diri dalam industri fesyen yang sememangnya diminatinya semenjak kecil lagi. Bagi Carmelita, dia terasa ada sesuatu yang kurang dalam hidupnya jika dia tidak menuruti kehendak hatinya itu.
“Sebelum meletak jawatan, saya sebenarnya pernah bagitahu ayah yang saya nak buka bisnes dan berhenti kerja. Saya mohon restu ayah, tapi masa tu ayah tak setuju dan marah saya,” katanya.
Tidak berputus asa, Carmelita terus cuba memujuk ayahnya agar beliau dapat diberikan peluang untuk mengejar impiannya dan salah satu yang dilakukan olehnya ialah menulis surat aku janji untuk ayahnya.
Dalam surat aku janji itu, beliau berjanji bahawa beliau akan berjaya dalam perniagaan yang diceburinya dan surat itu adalah surat perjanjian dan akuan di antara beliau dan ayahnya.
“Walaupun saya berjaya menyerahkan surat itu kepada ayah saya, tapi saya gagal membuktikan kepadanya janji saya kerana tidak lama selepas saya menyerahkan surat itu, dia meninggal dunia,” kata Carmelita.
Paling menyedihkan, pemergian ayah kesayangannya itu berlaku pada tahun yang sama beliau membuka perniagaan. Situasi itu menjadi satu tamparan yang cukup hebat buat Carmelita pada ketika itu.
“Saya betul-betul down dan sedih. Tapi saya tahu, walaupun ayah saya dah takde, saya masih perlu untuk terus berjuang demi mencapai impian saya, dan menyempurnakan janji saya kepada ayah bahawa suatu hari nanti saya akan berjaya,” katanya.
Walaupun ada kalanya beliau berasa sedih kerana janjinya kepada ayahnya tidak dapat ditunaikan semasa ayahnya masih hidup, namun dalam kesedihan, Carmelita tetap bulatkan hati dan tujuannya untuk meneruskan apa yang telah dirancang.
Carmelita sedar bahawa halangan ayahnya untuk beliau berhenti kerja dan membuka perniagaan sendiri bukanlah kerana ayahnya bencikannya tetapi adalah kerana ayahnya khuatir jika kehidupan Carmelita terabai akibat tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Apatah lagi jawatan Pegawai Kaunseling yang disandangnya di universiti bukanlah satu jawatan yang mudah diperoleh kerana beliau tahu ramai graduan Kaunseling yang mengimpikan jawatan yang beliau miliki.
“Saya faham ayah saya risau masa depan saya menjadi malap kerana jawatan saya di universiti itu sudah dikira kukuh. Tapi apa boleh buat, hati saya masa tu lebih kuat mendorong saya untuk membuka perniagaan sendiri,” katanya.
Namun selepas membuka perniagaan fesyennya, disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Carmelita sekali lagi berdepan dengan ujian, kali ini dalam perniagaan yang diusahakannya.
Manakan tidak, beliau hanya bermula kosong tanpa ada apa-apa ilmu mahu pun pengalaman dalam perniagaan sepanjang hidupnya dan hanya mengharapkan keazaman untuk berjaya semata-mata.
“Banyak kesilapan yang saya lakukan antaranya masalah aliran tunai, stok beku, pemasaran, perancangan stok yang tidak bagus serta banyak kesilapan lain yang berkait rapat dengan ilmu perniagaan,” jelasnya.
Selepas sedar dengan kelemahan dirinya dalam menguruskan perniagaan, Carmelita mula melangkah mencari ilmu dan mentor yang boleh membimbingnya agar kesalahan yang sama tidak diulangi lagi.
Dalam usahanya mencari ilmu dan mentor itulah beliau bertemu dengan RichWorks dan Datuk Wira Dr. Azizan Osman pada tahun 2018. Hati serta mindanya kemudiannya terus terpaut dengan cara didikan yang diterima, menyebabkan beliau menyertai Titanium.
Dalam Titanium pula, beliau gembira kerana mendapat lebih banyak bimbingan dan tunjuk ajar daripada Dr. Azizan, begitu juga dari ahli-ahli circle Titan yang lain. Itu membuatkannya bertekad untuk terus belajar dengan RichWorks selama yang boleh.
“Belajar dan menimba ilmu ini perlu dilakukan sehingga kita tua. Jangan sampai satu tahap nanti, dengan hanya sedikit kejayaan yang berjaya kita kecapi, kita terus mahu berhenti menuntut ilmu. Itu sebenarnya petanda awal detik kejatuhan kita,” katanya.
Jika semasa memulakan perniagaan dahulu Carmelita hanya bersandarkan minat semata-mata, kini beliau yang mengusahakan jenama tudung dan pakaian premium sudah mula boleh berbangga dengan apa yang dicapainya.
Di sepanjang tahun 2020, syarikatnya berjaya mencatatkan hasil jualan sebanyak RM6.2 juta manakala antara Januari hingga September 2021, jumlah perolehan yang diraih ialah sebanyak RM4.6 juta. Beliau juga kini mempunyai wismanya sendiri!
Ketika ditanya berkenaan tips dan nasihat kepada bakal atau usahawan baharu dalam industri fesyen, Carmelita berkata, pelaburan terbesar bukanlah aset, sebaliknya pembelajaran ilmu secara berterusan lebih-lebih lagi yang melibatkan bidang fesyen.
“Dalam industri fesyen, ia bergerak secara pantas. Ini kerana ramai usahawan baharu muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Justeru untuk kekal relevan, kita perlu lengkapkan diri dengan ilmu.”
“Perkara yang paling penting perlu diingat, untuk memulakan perniagaan itu mudah, tapi untuk mengekalkannya tidaklah semudah yang difikirkan. Oleh itu, perlu sentiasa tabah dan konsisten agar perniagaan dapat terus bertahan dan semakin berkembang.”
“Selain itu, kita juga perlu ada passion ke atas apa yang kita lakukan kerana bila kita minat dengan apa yang kita buat, sudah tentu segalanya akan menjadi lebih mudah,” kata Carmelita.
Walaupun Carmelita agak sedih kerana ayahnya tidak sempat melihat kejayaannya, beliau percaya tentangan ayahnya dulu ada hikmahnya kerana ia menjadi pembakar semangat yang menjadi punca kejayaannya hari ini!