Pepatah ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’ seringkali dirujuk dan digunakan untuk mereka yang mahu menyimpan duit. Namun, peribahasa ini sebenarnya boleh digunakan untuk sesiapa sahaja yang bersabar dan gigih melakukan sesuatu serta terus berusaha sehingga membuahkan hasil termasuk dalam dunia keusahawanan.
Tidak ketinggalan, Pengasas Wanys Food Sdn Bhd, Mawarni Namli yang menjalankan perniagaan menjual kacang bermula dengan hanya 10 kilogram sahaja sebagai permulaan awal.
Menurut anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, idea untuk mengetengahkan produk berasaskan kacang yang menjadi makanan kegemarannya tercetus apabila melihat potensi yang ada dalam pasaran.
Tanpa berlengah, Mawarni kemudiannya terus bertindak dan mengorak langkah.
Daripada jumlah yang kecil, permintaan terhadap kacang yang dijual olehnya semakin hari semakin bertambah. Sehingga kini beliau mempunyai dua buah kilang sendiri yang terletak di Semenyih dan produknya berjaya dipasarkan di 8,000 outlet seluruh negara.
Bagaimanapun, perjalanan awal perniagaan jenama Kacang Sedap sebenarnya penuh dengan liku dan onak duri yang perlu ditempuhi, sehingga menjadikan beliau sebagai insan yang tabah untuk berhadapan dengan dugaan dan cabaran.
Mawarni ketika bercerita mengenai pengalaman awal produk yang diasaskan pada tahun 2014 berkata, beliau dan suami pada mulanya hanya menjadikan flat tempat tinggal mereka sebagai pusat operasi perniagaan bagi membina jenama Kacang Sedap.
Sungguh mengagumkan apabila segala operasi perniagaan mereka dilakukan sepenuhnya tanpa bantuan sesiapa, bermula daripada proses mengangkat kacang, membungkus sehinggalah melekat sticker.
“Saya masih ingat lagi pada masa itu kalau angkat kacang naik ke rumah flat terpaksa berhimpit-himpit dalam lif. Jika stok kacang banyak, maka bertambahlah kerja kami. Sudah menjadi lumrah jika keesokannya demam atau sakit pinggang. Kami anggap itu perkara biasa. Ibarat kata pepatah, alah bisa tegal biasa.”
“Apabila perniagaan semakin berkembang dan bilangan stokis semakin bertambah, kami gunakan perkhidmatan bas untuk menghantar stok di pelbagai tempat di seluruh negara. Kami juga menghantarnya sendiri kepada stokis dan ejen. Kadang kala, kami keluar pagi balik malam untuk memastikan stok sampai kepada mereka” katanya yang kini mempunyai lebih 40 orang kakitangan dan ejen di seluruh Malaysia dan Singapura.
Selepas beberapa tahun, perniagaan yang tercetus dek kerana perasaan cintanya pada kacang, semakin berkembang. Paling ketara, hasil jualan kacangnya terus meningkat selepas beliau menyertai Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) anjuran RichWorks serta Datuk Wira Dr. Azizan Osman, sehinggalah beliau mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM2 juta.
Namun, beliau juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan sebarang kesilapan apabila mengambil keputusan berhenti belajar selepas pendapatannya mencecah jutaan ringgit.
“Saya membuat keputusan untuk berhenti belajar ketika pendapatan sedang meningkat naik disebabkan perasaan ego yang ada dalam diri. Pada masa itu, saya rasa diri sudah pandai sangat. Hasil daripada tindakan tersebut, perniagaan saya drop dengan ketara.”
“Sehinggalah pada tahun 2017, akibat sikap negatif diri sendiri, perniagaan saya terpaksa ditutup dan ia menjadi satu tamparan hebat. Saya sebenarnya lupa betapa pentingnya ilmu yang perlu sentiasa dicari dan bukannya berbangga dengan ilmu yang sama sahaja. Benar, realitinya sangat berbeza. Sebagai contoh, untuk menjual 100 kacang, ianya berbeza dengan menjual 10 juta kacang,” jelasnya.
Mawarni yang mula sedar kesilapannya terus bertindak dan mula mengambil keputusan untuk menyertai semula kelas dan seminar untuk mendapatkan ilmu dalam bidang perniagaan.
“Pada tahun 2018, saya masuk kelas percuma kerana masalah kewangan. Akhirnya pada tahun 2019 saya daftarkan diri dalam program Titan untuk mendapatkan bimbingan Dr. Azizan.”
“Saya tahu bagaimana perbezaan menuntut ilmu di RichWorks bersama Dr. Azizan atau pun tidak. Di RichWorks saya tidak pernah kurang ilmu, ada pelbagai kelas yang diajar yang melibatkan keseluruhan aspek. Bermula daripada marketing untuk tingkatkan jualan, pengurusan kewangan, operasi sehinggalah sumber manusia. Apabila menyertai Titan, perjalanan perniagaan saya menjadi lebih mudah dan jelas,” ujarnya.
Mawarni yang kini telah bangkit semula daripada kegagalan dan kesilapannya nekad tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Perniagaan yang dahulunya lingkup kini semakin berkembang baik sehingga berjaya memasarkan produk baharu ready to eat berbanding hanya menjadi pengeluar kacang semata-mata sebelum ini.
Nilai jualan produk Kacang Sedap juga berjaya mencatatkan jumah yang amat memberangsangkan iaitu sebanyak RM6.5 juta pada tahun 2020, manakala, sebanyak RM3.7 juta direkodkan pada tahun 2021.
Kini beliau berbangga dengan pencapaian yang diperoleh selepas berusaha keras dan menempuh pelbagai pengalaman pahit getir untuk mencapai kejayaan dan impian, sejak memulakan perniagaan sehinggalah jatuh dan bangkit semula daripada kegagalan.
“Saya manusia biasa yang mempunyai impian dan keinginan luar biasa demi orang yang paling saya sayangi, iaitu emak saya. Saya mahu berikan kesenangan padanya dan buatkan rumah baharu untuknya. Inilah salah satu big why saya memulakan perniagaan dan mampu bertahan sehingga ke hari ini, selain ingin membantu team Kacang Warrior merealisasikan impian mereka.”
“Saat paling menggembirakan, saya berjaya membawa keluarga menunaikan umrah dan belikan kereta untuk ayah saya,” katanya.
Mawarni berharap proses yang dilaluinya ketika awal perniagaan sehingga kini mampu dikongsikan bersama mereka yang mahu berjinak-jinak memulakan perniagaan dan mencapai cita-cita yang ditanam sebelum ini.
“Pesan saya, apabila kita cakap kita mahu bertindak, buatlah sehabis baik apa sahaja yang anda mahu lakukan. Contohnya, kalau kita cakap dan janji kita nak beri ibu kita sebanyak RM500, buatlah macam mana pun kita perlu pastikan jumlah tersebut sampai kepadanya, bukan hanya omong kosong.”
“Sanggupkah kita cakap tak dapat berikan kepada ibu sedangkan kita sudah berjanji? Jika kita sanggup buat apa sahaja untuk capai impian walau dalam keadaan terdesak, begitu jugalah dengan cita-cita untuk menjadi usahawan.”
“Kita perlu buat sampai macam tiada pilihan langsung. Jangan disebabkan sedikit ujian yang melanda, kita terus surrender. Tanya semula pada diri kita adakah kita hendak buat bersungguh-sungguh atau sebaliknya,” katanya.
Mawarni turut berpesan agar teruskan mencari ilmu dan guru untuk mendapatkan bimbingan terutama kepada usahawan yang baru berjinak-jinak dan masih kekurangan ilmu.
“Kita perlu bersedia untuk diajar dan belajar. Pertingkatkan diri dengan pelbagai ilmu dan bukannya hanya berada di takuk yang lama. Ingat, jika kita mahu berjaya, ilmu perlu sentiasa penuh di dada,” pesannya dengan penuh harapan untuk melihat lebih ramai usahawan berjaya sepertinya, suatu hari nanti.