Ramai yang merasakan sukar untuk meneraju syarikat jika berniaga bersama pasangan. Namun, lain pula halnya dengan pasangan bernama Lokman Hakim Ahmad Subki dan Rabiatul Adawiyah Rasolini ini.
Di usia muda, mereka berdua sepakat berusaha untuk mengubah nasib mereka, sejak mereka masih di zaman belajar, kemudian mendirikan rumahtangga sehinggalah mempunyai zuriat bersama.
Apa yang lebih menarik, mereka bermula dengan tiada pengalaman, tetapi yang mendorong mereka berjaya ialah keberanian dan keinginan yang kuat untuk memiliki perniagaan dalam bidang hiasan dalaman, yang akhirnya membuatkan mereka berjaya mencipta empayar sendiri!
Hari ini, IDW Design And Build semakin mendapat kepercayaan di kalangan mereka yang mementingkan hiasan dalaman.
Jika melihat kejayaan mereka di usia muda, pasti ramai menyangka mereka lahir dari dulang emas. Namun sangkaan ini salah sama sekali.
Pendidikan akademik yang tinggi mungkin menjadi bonus yang memangkin kejayaan mereka sedangkan mereka sebenarnya hanyalah datang dari keluarga yang biasa-biasa sahaja.
Hal itu mendorong Lokman Hakim menjadi seorang yang cekal sejak kecil bagi membantu keluarga.
“Saya anak bongsu dan jarak usia yang jauh di antara saya dan mak ayah menyebabkan saya risau jika saya tak berpeluang nak membahagiakan mereka.”
“Ayah saya hanya seorang security guard, mak saya pula menjual nasi lemak. Saya sering terfikir, sempatkah saya membahagiakan mereka?”
“Pernah suatu ketika, saya bekerja dengan gaji sekitar RM1000. Saya berikan RM400 kepada mak dan ayah saya dan bakinya saya gunakan dengan penuh berjimat untuk menampung keperluan saya sehingga ke akhir bulan.”
“Pada saya, setiap rezeki yang saya ada, saya akan kongsi dengan mak ayah saya sebagai satu cara yang saya harap dapat membahagiakan mereka,” kongsi Lokman Hakim.
Mengenai latar belakang penubuhan syarikat mereka, Lokman dan Rabiatul yang merupakan pemegang Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam, Selangor telah sepakat menubuhkan IDW Design and Build semasa masih dalam pengajian di universiti.
“Kalau ikutkan, IDW sudah berusia 14 tahun. Ia bermula daripada tahun 2007 seawal usia kami 21 tahun. Ketika itu, kami masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam dan belum mempunyai degree.”
“Kami menyimpan cita-cita untuk mempunyai perniagaan sendiri kerana kami terinspirasi daripada pensyarah kami. Suami anak bongsu, saya pula merupakan anda sulung dan saya perlu letak benchmark untuk adik-adik saya. Walaupun keluarga saya bukan berdarah peniaga, tapi minat pada rekaan dalaman membuatkan saya terus berada dalam bidang ini,” tambah Rabiatul Adawiyah.
Katanya, selepas tertubuhnya IDW Design and Build, mereka pada mulanya hanya menerima dan membuat projek-projek yang berskala kecil.
Namun suatu hari, seorang kenalan dari fakulti lain telah menawarkan mereka projek hiasan dalaman bernilai RM1.2 juta yang melibatkan dua buah rumah Semi D, yang turut dilengkapi dengan kolam renang.
Ketika itu mereka merasakan tawaran projek itu adalah ibarat bulan jatuh ke riba. Apakan tidak, walaupun masih lagi baharu dalam bidang hiasan dalaman, tetapi nampaknya rezeki dari Allah SWT sudah bertandang kepada mereka.
Dengan berani dan keyakinan yang tinggi, mereka bersetuju mengambil projek itu, walaupun sedar ketika itu pengalaman mereka masih tidak seluas syarikat-syarikat lain yang telah lama bertapak dalam bidang berkenaan.
“Sebelum tu kami hanya buat projek kecil-kecilan, tapi tak sangka kami dapat projek untuk rumah besar yang bernilai RM1.2 juta. Waktu itu, kami rasa bersyukur sangat walaupun kami masih tak ada knowledge yang banyak. Berbekalkan keberanian dan keyakinan, kami setuju untuk melaksanakan projek tersebut.”
Lokman Hakim pula berkata, sejak menubuhkan perniagaan, pelbagai suka-duka dan pahit manis pengalaman mereka lalui.
“Bayangkan saja, masa kami di awal perniagaan, kami tiada modal yang besar dan tiada pejabat. Kami berdua juga belum berkahwin dan terpaksa duduk di kedai mamak untuk berbincang mengenai projek yang ingin dijalankan.”
“Pernah pemilik kedai menyuruh kami untuk membawa bantal dan selimut dengan nada memerli kerana duduk di kedai terlalu lama,” ujarnya.
Selain itu, akibat kurang pengalaman, mereka juga menghadapi pelbagai masalah dengan kontraktor yang dilantik.
Antaranya mereka pernah ditipu dari segi bahan binaan seperti simen dan pasir dan lebih teruk, pengurus projek yang diupah juga sanggup bersekongkol dengan kontraktor yang menipu mereka.
Namun bagi Lokman Hakim dan Rabiatul Adawiyah, sebagai konsultan rekaan hiasan dalaman, itu adalah satu pengalaman yang berharga untuk mereka terus maju dalam perniagaan.
Apa jua masalah yang datang, mereka akan hadapinya dengan sabar dan tenang, dan setiap projek yang diamanahkan oleh pelanggan, akan tetap mereka laksanakan dengan sebaiknya.
“Saya pernah jual nasi lemak dengan cara ketuk pintu rumah orang. Jadi bila saya rasa susah macam mana sekali pun dalam bisnes kami, saya akan ingat bahawa ia takkan sesusah menjual nasi lemak dari rumah ke rumah.”
“Kalau masa jual nasi lemak tu, beratus buah rumah saya ketuk, tapi hasilnya tak seberapa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berkongsi saat-saat getir dalam perniagaan hiasan dalaman mereka.
“Mula dapat projek memang seronok macam anak kecil dapat permainan. Tetapi, bila tiada projek kami tiada duit nak bayar sewa kedai. Kami pernah diugut kontraktor yang meminta bayaran sehingga pintu rumah orang tua kami di ketuk dan kami pernah juga di tahan di traffic light,” katanya lagi.
Ketika tidak ada projek diterima, beliau dan isterinya turut pernah melakukan bermacam kerja sampingan semata-mata untuk mencari pendapatan.
Mengenai penglibatan mereka dengan RichWorks pula, Lokman Hakim berkata, titik awalnya bermula pada tahun 2014.
“Masa tu, kami tak ada projek langsung. Duit simpanan pula sudah habis buat kenduri kahwin. Paling mencabar ketika itu, kami terpaksa berulang-alik dari hospital ke rumah kerana anak kami sakit.”
“Satu pagi tu, saya menonton rancangan Nasi Lemak Kopi O dan dalam rancangan tu, tetamunya ialah Datuk Wira Dr. Azizan Osman. Beliau berkata dalam rancangan tu, jaga hubungan dengan Allah, ibu bapa dan orang sekeliling.”
“Walaupun dah banyak kali hadir seminar niaga, tapi pesanan itu selalu bermain di fikiran saya dan membuatkan saya mula mencari maklumat tentang Dr. Azizan. Tapi masa tu saya tak terfikir untuk sertai program-programnya lagi,” katanya.
Akhirnya pada 2016, mereka mula memutuskan untuk mengikuti bengkel-bengkel perniagaan dan keusahawanan yang dianjurkan oleh RichWorks.
Bermula dari situ, mereka mendapat gambaran jelas tentang hala tuju dan bagaimana hendak membina semula perniagaan yang diceburi selama ini.
“Saya suka membaca buku tetapi hasil bacaan tidak sama jika dibandingkan dengan hasil berguru. Kita perlu sentiasa ada keinginan untuk berubah, kerana bila kita sudah stuck dengan suatu masalah, kita akan terus stuck di tempat yang sama.”
“Dulu, setiap kali kami buntu kami akan mencari buku. Namun sekarang semasa belajar dengan RichWorks, semua bimbingan yang selama ini saya cari menerusi bahan bacaan, boleh diperolehi dengan lebih mudah dan berkesan,” kata beliau lagi.
Pada September 2021, IDW Design and Build berjaya mencapai hasil jualan sebanyak RM8.8 juta.