Eskayvie – Lambang Kejayaan Usahawan Wanita Malaysia

Dapatkan secara percuma

Dapatkan buku 100 Usahawan Jutawan : Satu Misi Bantu The Nation dengan mendaftar ke Wanita Bangkit Berniaga sekarang!

Minatnya dalam bidang perniagaan mula terserlah semenjak beliau masih lagi berada di bangku sekolah rendah. Di kala kanak-kanak sekolah lain belajar dan bermain bersama, beliau pula di waktu senggang gigih menjual produk yang dihasilkannya sendiri.

Namun demikian, minatnya itu tidak sedikit pun mengganggu pelajarannya dan hal ini terbukti apabila beliau berjaya menjadi seorang peguam bela dan peguam cara, sebaik saja menamatkan pengajian undang-undang di peringkat universiti.

Apa yang lebih membanggakan, bukan sahaja mahir dalam undang-undang, beliau juga hari ini merupakan salah seorang pengasas syarikat makanan kesihatan yang berjaya mencatatkan keuntungan bernilai jutaan ringgit setiap tahun.

Beliau yang dimaksudkan ialah Kartika Wati Mohamed,  Pengasas dan Pengarah Urusan Eskayvie Sdn Bhd.

Kartika ketika menceritakan penglibatan awalnya dalam perniagaan berkata, beliau mula berniaga sejak beliau berusia 8 tahun lagi iaitu ketika masih berada di bangku sekolah rendah.

Selepas pulang dari sekolah sekolah, katanya dia akan membeli ubi keledek, mengupas dan memotongnya lalu membuat kuih karas, sebelum kuih karas itu dimasukkan ke dalam plastik untuk dijual di sekolah.

“Alhamdulillah, walaupun saya dari keluarga biasa-biasa, tapi kalau waktu rehat, saya tak beli makanan yang di jual untuk murid, tapi yang dijual untuk cikgu. Maklumlah, masa tu saya dah pegang duit hasil jualan kuih karas yang saya buat,” katanya sambil tertawa kecil.

Masa belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MARA) pula, beliau turut berniaga keropok manakala ketika zaman universiti, beliau menjalankan aktiviti menjual T-shirt.

“Di universiti masa tu kalau ada sesiapa yang nak buat baju untuk persatuan, kelab sukan atau apa-apa, mereka tau siapa mereka nak cari. Siapa lagi kalau bukan saya.”

“Bila dah graduate dan jadi peguam, minat saya untuk berniaga tidak pernah berhenti. Sebab itu selepas dua tahun bekerja sebagai legal assistant, saya terus buka firma guaman sendiri pada tahun 1998,” kata wanita yang berasal dari Tumpat, Kelantan ini.

Katanya, beliau sememangnya suka menetapkan sasaran dalam hidupnya dan memiliki perniagaan sebelum usia mencecah 30 tahun adalah antara matlamatnya yang berjaya dicapai semasa beliau membuka firma guamannya.

Selain itu katanya, beliau juga meletakkan sasaran untuk menjadi jutawan pada usia sebelum 35 tahun dan mahu memiliki pelbagai bidang perniagaan sebelum usianya mencecah 40 tahun.

“Alhamdulillah, dengan adanya sasaran tersebut, saya menjadi seorang yang lebih fokus untuk mencapai impian dalam hidup saya dan saya berjaya mencapai sejuta pertama saya pada usia 32 tahun. Saya sangat bersyukur!” katanya.

Menceritakan tentang sejarah penubuhan Eskayvie Sdn Bhd, Kartika berkata, syarikat itu ditubuhkan pada tahun 2009, hasil kerjasama di antara beliau dan suaminya, Dr. Syid Ayob Mustafa Al-Qudri, seorang doktor perubatan.

Eskayvie adalah sebuah syarikat yang mempelopori produk-produk kesihatan terbaik seperti suplemen bagi membantu masyarakat untuk lebih sihat agar kehidupan mereka akan menjadi lebih bererti.

Selain itu, Eskayvie juga menawarkan pelbagai peluang perniagaan yang boleh diceburi oleh masyarakat agar ekonomi diri dan keluarga mereka dapat diperkasakan, sekaligus menyumbang kepada kemakmuran negara.

Menurut Kartika, jika sebelum ini beliau lebih gemar untuk membuka perniagaan secara bersendirian, namun menyedari yang bidang kesihatan bukanlah kepakarannya, maka beliau mendapatkan kerjasama suaminya untuk membangunkan perniagaan berkenaan.

“Saya tidak mahir dalam bidang kesihatan. Jadi suami saya yang merupakan seorang doktor banyak membantu. Saya sangat respek dengan dia dan ada tiga hal pasal bisnes yang saya suka dengan dia iaitu dari segi integriti, komitmen dan ilmu,” ujarnya.

Tiga hal itu disifatkannya menjadi antara faktor Eskayvie mampu meningkat maju hari ini sehinggakan berjaya meraih jualan bernilai RM50.8 juta pada 2020, dan meningkat kepada RM60.3 juta, di antara Januari hingga September 2021.

Namun begitu ujarnya, beliau juga mengalami jatuh bangun kerana berniaga adalah umpama pusingan roda, ada masa berada di atas dan ada masa berada di bawah.

Pernah satu ketika katanya, disebabkan perubahan undang-undang dan situasi semasa negara, beliau hampir berputus asa dengan Eskayvie dan mula terfikir untuk kembali menjadi peguam sepenuh masa.

Namun begitu katanya, walaupun langit tidak selalu cerah, tetapi langit juga tidak selalu mendung. Beliau berdoa kepada Allah agar memberikannya petunjuk dan panduan agar perniagaannya kembali pulih, sekiranya ia boleh membawa kebaikan ke jalan Allah.

Beliau bersyukur, doanya dimakbulkan dan Eskayvie kembali cemerlang dalam meniti hari-harinya.

“Dalam berniaga ini kita kena ingat, kalau kita jatuh, kita kena sabar. Mungkin ada benda yang Allah SWT nak jentik hati kita supaya kita bermuhasabah sebab Dia lebih tahu keadaan kita.” katanya.

“Allah tak bagi kita (naik) kerana Dia tahu kita mungkin belum bersedia kerana kalau Allah bagi kita naik dalam keadaan kita tak bersedia, mungkin bila jatuh, kita akan jatuh dengan lebih teruk lagi.”

“Jadi sentiasalah bersangka baik dengan Allah, bersangka baik dengan situasi dihadapi, selalu berlapang dada dan hati kena sabar kerana apa juga yang Allah tentukan, pasti di sebaliknya terkandung hikmah yang akan kita syukuri,” kata Kartika mengingatkan.

Dalam mendepani masalah yang tidak dijangka pula, Kartika menyatakan bahawa dia selalu mengingatkan pasukannya agar mengamalkan 10 minutes rules iaitu perlu sentiasa bertenang dan tarik nafas kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Kalau ada apa-apa berlaku, saya selalu ingatkan team saya ‘do not react, but respond’. Ambil masa 10 minit, relax dulu, tarik nafas, analyse the situation lepas itu baru kita respond.”

“Sebab kalau kita terus react, itu maksudnya kita bertindak dengan emosi dan mungkin akan membuat keputusan yang salah. Bila keputusan itu salah, lebih banyak masalah akan berlaku. Kena selalu tenang kerana orang yang tenang akan menang,” kata beliau.

Beliau yang menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idolanya turut menyeru setiap individu agar sentiasa mempunyai sasaran dalam hidup agar mereka lebih fokus dalam menjalani kehidupan seharian dan mampu mencipta kejayaan.

Kartika juga turut melahirkan rasa syukurnya kerana berpeluang menimba ilmu daripada Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan RichWorks yang disifatkannya banyak membantu dalam menentukan hala tuju perniagaannya, sehinggalah Eskayvie berupaya mengorak langkah kejayaan pada hari ini!

Dapatkan secara percuma

Dapatkan buku 100 Usahawan Jutawan : Satu Misi Bantu The Nation dengan mendaftar ke Wanita Bangkit Berniaga sekarang!

You May Also Like…