Wanita ini diperlekehkan ketika beliau mewarisi syarikat perniagaan rempah daripada ayahnya pada tahun 2005 dan kemampuannya untuk mengambil alih syarikat tersebut turut dipandang sinis dan diperkecil-kecilkan.
Meskipun sedih kerana kemampuannya diragui, beliau menjadikan semua itu sebagai pembakar semangat dan bertekad akan membuktikan bahawa semua tanggapan yang dilontarkan kepadanya itu adalah salah sama sekali.
Begitulah kisah suram yang pernah dilalui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rempah Mak Siti, Siti Khawa Jannah Nasuha, yang membangunkan syarikat itu bersama suaminya, Ketua Pegawai Operasi Mak Siti, Mohd Hafizan Yusoff.
Hari ini, Siti Khawa bukan sahaja berjaya membangun serta mengembangkan syarikat yang diwarisinya sehingga ke serata Malaysia, malah mampu pula bergelar seorang usahawan jutawan yang berjaya!
“Siapa tak sedih bila diperkecil-kecilkan sehingga ke tahap menghina? Tapi itulah yang saya lalui dahulu. Belum pun mereka memberi saya peluang menunjukkan kemampuan saya, tapi macam-macam yang mereka sudah kata pada saya,” katanya.
Siti Khawa memberitahu, antara langkah pertama yang dilakukannya selepas mewarisi perniagaan ayahnya itu ialah beliau nekad mengambil Lesen Kenderaan Barang (GDL) bagi membolehkannya memandu lori syarikat.
“Saya ambil lesen GDL sebab saya mahu buktikan wanita juga boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki. Saya nak mereka tahu, walaupun saya wanita, saya boleh buat lebih daripada apa yang mereka fikirkan,” katanya.
Setelah berjaya mengambil lesen GDL dan mengendalikan operasi syarikatnya termasuk memandu lori syarikat, sedikit demi sedikit pandangan sinis terhadap beliau yang menguruskan perniagaan keluarga semakin pudar.
“Daripada pengalaman itu, apabila kita diperlekeh oleh orang lain, jangan kita merasa patah hati, apatah lagi mengalah lalu berundur. Tetapi kita harus cekal, bersabar, tapi dalam masa sama, bangkit dan buktikan kemampuan diri kita,” katanya.
Hari demi hari, Siti Khawa semakin dapat membiasakan diriya dengan perniagaan Mak Siti itu dan beliau semakin faham selok-belok untuk menguruskan perniagaan rempah keluarganya itu.
Beliau juga mencuba pelbagai strategi dan pendekatan untuk memastikan produk Mak Siti terus mendapat tempat dalam pasaran kerana beliau mahu jenama syarikat itu dekat di hati pengguna dan produk rempahnya menjadi pilihan utama rakyat.
“Saya masih ingat lagi, memanjat tangga umpama permainan kami. Kami pergi dari satu pasar raya ke satu pasar raya yang lain untuk memasarkan produk Mak Siti. Kami perlu yakinkan peruncit bahawa produk Mak Siti adalah berkualiti tinggi,” katanya.
Antara pasar raya besar yang diterjah mereka ialah Tesco, Mydin, Carrefour dan Aeon Big. Menurutnya, usaha itu bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, tetapi benar-benar memerlukan kesabaran yang tinggi serta sikap tidak berputus asa.
“Ada di antara pasar raya yang kami kunjungi itu, kami terpaksa berbincang sehingga berpuluh malah beratus kali sebelum mereka bersetuju untuk membantu memasarkan produk-produk keluaran syarikat kami.”
“Ada juga yang bersetuju hanya selepas dua tahun kami berbincang,” ujarnya sambil menyifatkan apa yang dilalui itu sebagai satu cabaran dan pengalaman berharga dalam dunia perniagaan.
Selain melaksanakan pelbagai program pemasaran dalam negara, suaminya Hafizan yang berpengalaman dalam bidang pemasaran turut berusaha mencari peluang yang boleh membawa produk Mak Siti bersaing di peringkat antarabangsa.
Ketika itu, Siti Khawa dan Hafizan turut berpeluang mengikuti sesi-sesi lawatan ke luar negara anjuran kementerian yang bertanggungjawab untuk perdagangan antarabangsa.
“Saya masih ingat lagi di antara tahun 2015 dan 2016, kami turut menyertai rombongan lawatan ke luar negara dan antara yang dikunjungi ialah United Kingdom dan Perancis. Malangnya, usaha itu tidak memberi banyak kesan kepada perniagaan kami,” katanya.
Suatu hari, Siti Khawa bermuhasabah dan cuba mencari di manakah salah dan silapnya yang membuatkan perniagaan rempah yang dijalankan oleh syarikatnya masih lagi tidak mencapai tahap yang membanggakan.
Setelah puas berfikir, beliau akhirnya sedar bahawa kelemahan utama beliau yang membuatkan syarikatnya tidak berupaya untuk pergi jauh dalam industri ialah disebabkan mereka berdua tidak mempunyai ilmu yang mencukupi.
“Alhamdulillah, Allah SWT membukakan jalannya dan di kala saya mencari tempat untuk menimba ilmu yang berkaitan, saya bertemu dengan RichWorks dan berpeluang untuk menyertai program Intensif Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) 2017,” katanya.
Sebelum mendaftar untuk menyertai IMKK, pasangan suami isteri tersebut sebenarnya tidak pun tahu apakah pengisian yang ada dalam program berkenaan, tetapi atas niat dan kemahuan yang tinggi untuk belajar, mereka menyertainya juga.
“Selepas menyertai IMKK, kami dapati banyak ilmu yang kami pelajari. Antaranya ialah kami mula dapat melihat segala kelemahan dan kekurangan kami dalam menguruskan perniagaan yang dijalankan.”
“Kami juga diminta mengubah cara kami berfikir malah diberikan bimbingan tentang kaedah menguruskan perniagaan dengan berkesan termasuk dari aspek leadership, pemasaran, pengurusan akaun dan stok serta banyak lagi,” jelas beliau.
Rentetan dari program IMKK, Siti Khawa dan Hafizan terus mengikuti program-program anjuran RichWorks dan semakin hari semakin banyak ilmu yang diperoleh mereka. Mereka berdua juga turut menyertai Titanium dan prestasi mereka terus meningkat.
Hasil daripada ilmu diperoleh, ditambah dengan bimbingan daripada Dr. Azizan selaku mentor, serta sokongan padu dari rakan-rakan dalam circle Titan, jenama Mak Siti semakin terkenal dan keuntungan yang diperoleh juga naik mendadak!
Pada 2020, syarikat itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM13 juta. Dalam sembilan bulan pertama tahun 2021, jenama rempah Mak Siti mencatatkan hasil jualan sebanyak RM11.5 juta.
Menurut Siti Khawa, beliau percaya kejayaan yang dicapai syarikatnya itu banyak berkait dengan nasihat Dr. Azizan terutamanya apabila mentor usahawan itu menasihatkan mereka supaya mengurangkan jumlah produk daripada 100 kepada 37 sahaja.
Nasihat itu ujarnya amat berkesan kerana saranan itu bukan sahaja memberi kesan kepada mereka dari segi fokus, tetapi juga membawa faedah lain seperti dari aspek kos, storan dan sebagainya.
“Apapun kami amat bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan dan kami juga berterima kasih kepada RichWorks dan Dr. Azizan di atas bimbingan serta nasihat berguna yang akhirnya berjaya membuatkan kami bergelar jutawan,” katanya.
Jika Siti Khawa dan Hafizan boleh mendepani rintangan dan mencapai kejayaan hasil kesungguhan mereka, anda bagaimana? Kami yakin anda juga boleh berjaya!