Artis popular Malaysia, Indonesia jual jamu dari Palembang

Dapatkan secara percuma

Dapatkan buku 100 Usahawan Jutawan : Satu Misi Bantu The Nation dengan mendaftar ke Wanita Bangkit Berniaga sekarang!

Tya Arifin atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin bukanlah satu nama yang asing dalam dunia hiburan di Indonesia dan Malaysia. Beliau adalah seorang pelakon dan penyanyi terkenal yang sangat berbakat.

Antara filem lakonan beliau di Indonesia ialah ialah Gending Sriwijaya (2013), Garuda Superhero (2015) dan Preman Pensiun (2019). Di Malaysia pula, Tya pernah menjadi juri Maharaja Lawak Mega 2018 dan menjayakan program Naura HD, I Love with Tya.

Selain itu, artis kelahiran Palembang, Indonesia ini turut berlakon dalam telefilem Bidadari (Astro Citra) dan Perempuan Disarung (Astro Ria), serta mempunyai dua single album bertajuk Bagaikan Mutiara dan Bawalah Aku.

Tya mendirikan rumah tangga pada 2015 dengan Muhammad Asyraf Khalid, anak usahawan terkemuka Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, dan itu juga menjadikannya anak menantu tiri kepada penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Jika dilihat dari segi profil wanita ini, Tya boleh dikatakan sudah begitu kukuh dari segi kerjayanya dan tentunya turut dijadikan idola oleh ramai wanita di luar sana yang ingin memiliki kehidupan sepertinya.

Namun selepas berkahwin, Tya tidak lagi begitu aktif dalam kegiatan seninya, seperti sebelumnya. Kebanyakan masanya diluangkan bersama keluarga, selain membantu menguruskan syarikat pengurusan artis milik suaminya.

“Saya sebenarnya menjadi Pembantu Peribadi (PA) kepada suami dan apabila kami mencari talent atau artis untuk sesuatu program atau projek, sayalah yang akan memberikan pandangan dan nasihat.”

“Tetapi, untuk mencari talent atau artis yang sesuai tidaklah mudah. Dipendekkan cerita, syarikat itu ada cabaran dan masalahnya yang tersendiri dan sebab itulah kami beralih dan membangunkan perniagaan Jamu Mutyara Beauty,” kata beliau.

Semasa mula-mula memberikan cadangan agar mereka membuka perniagaan jamu, Tya menyatakan bahawa beliau bersyukur kerana Asyraf tidak menghalang niatnya itu, malah memberikan sokongan penuh dan sudi pula menjadi pengasas bersama.

Tapi mengapa jamu yang dipilih untuk perniagaan ini? Mengapa bukan produk lain seperti pakaian, tudung, makanan dan lain-lain? Tya ada jawapannya yang tersendiri.

“Saya sudah lama ingin berniaga jamu kerana saya sendiri mengamalkan jamu sejak saya masih remaja. Saya mahu lebih ramai kaum wanita sedar bahawa jamu adalah bagus untuk kecantikan luaran dan kesihatan dalaman tubuh,” katanya.

Tidak setakat itu, Tya juga mahu legasi ayahnya sebagai seorang penjual jamu di Palembang, Indonesia dapat diteruskan dan resepi jamu ayahnya dapat menjadi satu warisan yang bermanfaat untuk ramai orang.

Mengenai produknya, beliau berkata, Jamu Mutyara Beauty adalah rangkaian produk cecair jamu yang diperbuat dengan resepi turun temurun yang telah ditambah baik mutu dan cita rasanya, dihasilkan untuk memenuhi keperluan wanita pada masa kini.

Antara manfaatnya ialah ia dapat menghangatkan tubuh, merawat luka dalaman selepas bersalin, menghilangkan keputihan, mengecutkan rahim dan peranakan, memulihkan tenaga dan membuang angin dalam tubuh.

Jamu Mutyara Beauty ini sesuai untuk semua golongan wanita, termasuk yang berkerjaya dan sibuk dengan urusan seharian kerana ia mudah ditelan, tidak pahit dan memiliki rasa unik tetapi lazat kerana mengandungi campuran buah kranberi.

Semasa di awal perniagaan, pasaran produk Jamu Mutyara Beauty menerima sambutan yang agak menggalakkan. Mungkin disebabkan Tya adalah seorang artis popular. Namun demikian, pada satu ketika, jualan mereka mula merosot!

Asyraf dan Tya cuba menaikkan semula jualan mereka tetapi gagal dan akhirnya mereka memutuskan untuk menyertai beberapa program RichWorks dan Datuk Seri Dr. Azizan Osman bagi menimba ilmu perniagaan.

“Selepas menyertai program RichWorks dan mengamalkan ilmu yang diajar, kami mula melihat peningkatan dalam bisnes kami. Kami juga dapat merasakan aspek keperibadian dan kerohanian kami berdua turut berubah,” katanya.

Perubahan tersebut katanya adalah selepas Dr. Azizan melontarkan satu kata-kata dalam satu program, yang pada mereka benar-benar menyentuh dan menusuk ke dalam sanubari. Kata-kata tersebut berbunyi lebih kurang begini:

‘Kita selalu nak marketing perniagaan kita, tapi kita selalu lupa marketing diri kita dengan Allah. Bila kita (rasa) nak bantu orang, adakah kita sudah bantu diri kita sendiri dan buat apa yang Allah suruh?’.

Kata-kata Dr. Azizan itu telah menyedarkan Tya dan suaminya bahawa mereka perlu membantu diri mereka dengan menjaga hubungan dengan Allah SWT, jika mereka ingin mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

“Ayat Dr. Azizan masa tu betul-betul meresap ke dalam hati saya. Saya sebenarnya memang ada niat untuk bertudung cuma saya belum melakukannya. Selepas itu, saya mula belajar memakai tudung,” katanya.

Menurut Asyraf, beliau juga turut terkesan dengan kata-kata mentornya dan selepas program itu, beliau mula sering ke masjid serta rajin menunaikan solat tahajjud.

Keyakinan Tya dan Asyraf terhadap perniagaan mereka pula semakin bertambah dan selepas program, mereka lebih jelas tentang hala tuju perniagaan mereka di masa hadapan.

Jika dahulu niat mereka berniaga adalah untuk meraih keuntungan demi keselesaan diri dan keluarga, tetapi selepas itu mereka berazam mahukan perniagaan mereka semakin maju dan dalam masa sama, ia dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Semasa bermula dahulu, perniagaan pasangan ini hanya bermula dari rumah sahaja, tetapi kini mereka sudah berjaya berpindah ke lot bangunan sendiri setinggi empat tingkat, yang dilengkapi dengan bilik latihan dan ruang kerja yang selesa.

Mutyara Beauty juga kini memiliki seramai 35 orang kakitangan dan syarikat itu juga telah menghadiahkan tiga buah kereta kepada tiga orang kakitangan yang paling banyak berjasa kepada syarikat.

Tya dan Asyraf turut sempat berkongsikan tips kejayaan mereka kepada anda yang membaca buku ini.

Menurut Tya, jika ingin berjaya dalam perniagaan, perkara yang perlu dilakukan ialah buang ego dalam diri, kejar ilmu dan sentiasa konsisten.

“Kita kena buang ego dan sedia untuk ditegur. Semasa belajar pula, kita mesti ‘kosongkan gelas’ dan membuka fikiran dan hati untuk ikhlas menerima ilmu yang diberikan. Selain itu, kita juga perlu konsisten dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Asyraf pula berpesan, pastikan minda sentiasa dipenuhi dengan benda-benda yang baik dan positif, manakala perkara-perkara yang tidak baik atau negatif perlu diabaikan atau dijauhi.

“Dr. Azizan pernah berpesan, kalau kita isi belon dengan angin biasa, belon tu akan membesar tetapi macam tu sahaja. Tetapi kalau kita isi dengan gas helium, belon tu akan membesar juga tetapi boleh terbang dengan mudah.”

“Begitu juga dengan minda kita, kalau kita masukkan benda-benda baik, Insya-Allah cepat kita berjaya. Tapi kalau kita masukkan benda-benda yang negatif, ia akan merencatkan kejayaan kerana minda kita diisi dengan angin kosong,” kata Asyraf.

Dapatkan secara percuma

Dapatkan buku 100 Usahawan Jutawan : Satu Misi Bantu The Nation dengan mendaftar ke Wanita Bangkit Berniaga sekarang!

You May Also Like…