Tiada sesiapa dapat nafikan betapa besarnya jasa seorang pendidik. Malah, mereka yang rela berkongsi ilmu dengan mendidik adalah seorang yang berjiwa besar kerana usaha tersebut adalah pemangkin kepada kemajuan anak bangsa.
Kisah kali ini ialah mengenai jatuh bangun pasangan Siti Farhana Abu Osman dan suaminya, Muha Habibunajjar Sazali, yang kerana minat mereka sanggup membuka pusat tuisyen, tetapi kemudiannya berdepan masalah getir sebelum kembali bangkit mencipta kejayaan.
Kedua-dua mereka adalah pengasas Pusat Tuisyen Teratak Ilmu (PTTI) yang bermula di Bangi, Selangor pada tahun 2015, dengan hanya tiga kelas kecil dan dengan pelajar yang berjumlah kurang daripada 100 orang.
PTTI memfokuskan kepada usaha membantu pelajar aliran sains tulen untuk mencapai kejayaan dalam akademik mereka, terutamanya untuk cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menceritakan titik tolak awal tertubuhnya pusat tuisyen itu, Siti Farhana menjelaskan bahawa penubuhan PTTI pada asalnya bukanlah bertujuan untuk mencari keuntungan dan beliau tidak pernah terfikir pun untuk menceburi dunia perniagaan.
Semuanya katanya berlaku secara tidak sengaja atau tanpa dirancang, lantaran minatnya yang mendalam terhadap dunia pengajaran, memandangkan beliau sebelum ini bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah.
“Ia bermula apabila saya berjumpa dengan rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Setelah berbincang, kami pun bersepalat untuk membuka Pusat Tuisyen Teratak Ilmu ini.”
“Niat kami pada masa itu adalah kerana kami ingin menyumbang ilmu pengetahuan yang kami miliki kepada anak bangsa dan satu sebab yang paling utama ialah kerana kami memang suka dengan aktiviti mengajar,” katanya.
Ketika itu kata beliau, mereka tidak terlalu memikirkan tentang kos operasi pusat tuisyen tersebut kerana beranggapan yang perkara itu adalah perkara kedua, asalkan hajat mereka untuk mengajar dapat dilaksanakan.
Bagaimanapun, mereka ternyata tersilap percaturan apabila pendekatan yang mereka ambil itu bukan sahaja telah menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian setiap bulan, malah terpaksa pula mengeluarkan duit sendiri untuk menampung kos operasi.
“Sejak pusat tuisyen kami dibuka pada tahun 2015 dan sehingga tahun 2016, kami memang tidak ada keuntungan. Ia ibarat kami menubuhkannya kerana suka-suka atas dasar minat mengajar. Siapa sangka, minat kami itu akhirnya memakan diri.”
“Masuk 2017, keadaan kewangan kami menjadi begitu kritikal. Bayangkan saja, setiap bulan selepas kami membayar gaji kakitangan, bayar sewa premis dan kos operasi, kami lihat baki akaun akan menjadi defisit. Malah kami sendiri terpaksa mengeluarkan duit popket untuk memastikan pusat tuisyen kami dapat terus bertahan,” katanya.
Menurut Siti Farhana, keadaan yang semakin menekan itu juga membuatkan mereka suami isteri sering bertengkar.
Lebih menyedihkan, mereka juga terpaksa berjimat cermat untuk perbelanjaan peribadi seharian dan sehingga satu tahap, mereka terpaksa mencatu makanan!
Habib pula memberitahu, selepas habis waktu mengajar, beliau terpaksa melakukan kerja sambilan sebagai pemandu Grab semata-mata untuk mencari wang agar boleh digunakan bagi menampung kos pusat tuisyen, selain untuk kegunaan keperluan seharian mereka.
Menyedari yang keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan, Siti Farhana dan Habib kemudiannya mula mencari tempat untuk belajar bagaimana mereka dapat menangani masalah perniagaan yang dihadapi dan akhirnya, mereka memilih RichWorks sebagai sumber mereka mendapatkan ilmu.
“Bila kami dah mula belajar dengan RichWorks pada tahun 2017, di situ barulah kami nampak ‘jalan keluar’ kepada permasalahan kami. Kami juga sedar bahawa apa yang terjadi adalah disebabkan kami tiada ilmu yang betul untuk menguruskan pusat tuisyen tersebut,” jelas Siti Farhana.
Sejak 2017 hingga sekarang katanya, mereka masih lagi gigih menimba ilmu di RichWorks, di bawah bimbingan Mentor Usahawan Datuk Wira Dr. Azizan Osman.
Hasil daripada ilmu yang diperoleh, mereka kemudiannya membuat perancangan dan melaksanakan pelbagai transformasi dalam perniagaan yang diusahakan mereka.
“Apa yang menarik, Dr. Azizan telah meminta kami membuat persediaan untuk beralih ke arah digital sejak tahun 2017 lagi. Atas nasihat itu, kami mengambil pendekatan yang diperlukan dan mengaplikasikannya dalam perniagaan kami pada 2018.”
“Pada 2019, kami berjaya mencatat hasil jualan sebanyak RM2.9 juta dan jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 75 peratus berbanding tahun sebelumnya.”
“Kami sebenarnya tidak menyangka nasihat Dr. Azizan supaya kami beralih ke dunia digital dan online learning akhirnya menjadi punca rezeki. Perniagaan kami juga bertambah maju sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara,” ujar Siti Farhana.
Sehingga kini, beratus-ratus video testimoni hasil pencapaian pelajar telah berjaya dikumpulkan oleh PTTI dan ia menjadi bukti kesungguhan mereka membangunkan anak bangsa dengan menggunakan platform digital yang diperkenalkan.
“Kalau masa kami bermula dahulu kami hanya ada kurang daripada 100 pelajar, tetapi hari ini kami telah membantu lebih daripada 100 ribu pelajar melalui pengajaran dan bimbingan secara online,” katanya lagi.
Menurutnya, beliau gembira kerana kejayaan pusat tuisyen tersebut turut dinikmati oleh pasukannya apabila ramai di antara mereka yang telah berjaya meningkatkan taraf hidup mereka.
Malah apa yang lebih menggembirakan beliau dan suaminya ialah apabila melihat ada ahli pasukannya yang telah mampu menghadiahkan kereta kepada ayah mereka, dan ada juga yang mampu menanggung kos ubah suai rumah orang tua mereka.
Pada tahun 2020, PTTI berjaya mencatatkan hasil jualan sebanyak RM5.1 juta manakala setakat September tahun 2021, PTTI berjaya memperoleh RM 6.3 juta.
Hasil pengalaman yang dilalui mereka dalam menjalankan perniagaan yang diusahakan, pasangan ini turut memberikan satu nasihat berguna yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang ingin berjaya dalam perniagaan.
Menurut Siti Farhana, apa yang perlu disemat ke dalam hati ialah tentang kepentingan menuntut ilmu kerana sesuatu yang dilakukan itu tidak akan berhasil jika ia dilakukan tanpa adanya ilmu pengetahuan.
“Janganlah kita takut untuk melabur wang, tenaga dan masa bagi mendapatkan ilmu kerana apabila kita ada ilmu pengetahuan, ia boleh kita manfaatkan untuk memajukan diri kita dan memajukan segala apa yang kita sedang usahakan,” katanya.
Habib pula menambah, apabila melakukan sesuatu perkara tanpa ilmu, ia akan menjadi perbuatan yang sia-sia dan membuang masa kerana akhirnya nanti apa yang dilakukan itu tidak akan memberikan pulangan atau hasil seperti yang diharapkan.
“Biar kita tak makan kerana mencari ilmu kerana apabila ada ilmu, ia membolehkan kita mencari makan,” kata Habib.