Rezeki tidak akan datang bergolek. Sebaliknya, seseorang itu perlu bekerja keras untuk mendapat apa yang dicita-citakan dan tidak sesekali berputus asa jika berdepan dengan sebarang dugaan atau cabaran.
Kisah kali ini adalah tentang usaha gigih seorang wanita, Sailajah Salveekem, yang hari ini bergelar seorang usahawan jutawan hasil daripada kesungguhannya menjalankan perniagaan berkaitan produk penjagaan kulit kepala dan rambut.
Lebih menarik kisah ini ialah apabila beliau juga dapat membantu ramai ejennya untuk turut mencapai keuntungan sehingga RM1 juta setahun, hasil daripada teknik menjalankan perniagaan yang betul, yang dipelajari dari RichWorks.
Sailajah yang datang dari keluarga yang memiliki perniagaan sendiri, bermula sebagai usahawan hasil daripada dorongan bapanya yang meletakkan impian untuk melihat anak perempuannya itu mampu bergelar jutawan sebelum mencecah usia 30 tahun.
Pada awalnya, Sailajah agak tertekan dengan desakan ayahnya yang sering kail mengingatkannya tentang matlamat untuk menjadi seorang jutawan, sedangkan beliau sendiri tidak tahu bagaimana mahu menggapai impiannya itu.
“Dulu saya pernah bekerja sebagai akauntan di sebuah kilang di Masai, Johor. Masa tu, setiap hari ayah saya akan menghubungi saya melalui telefon dan mengingatkan saya agar cepat-cepat berusaha untuk menjadi jutawan.”
“Tapi saya sendiri pun tak tau macam mana saya nak realisasikan impian ayah saya itu sebab masa tu saya cuma makan gaji. Gaji saya pula cuma RM2,000 sebulan,” katanya.
Lelah memerah otak berbulan-bulan memikirkan bagaimana untuk menjadi jutawan, suatu hari terlintas idea di fikirannya untuk bermula dengan mencari pendapatan sampingan.
Ketika itu, beliau membuat keputusan untuk mengajar tuisyen di rumahnya kerana beliau tidak mahu mensia-siakan ilmu perakaunan yang dimilikinya.
Dalam masa yang sama, Sailajah juga menjual barangan dan produk kosmetik syarikat lain secara dalam talian bagi mengisi masa lapangnya.
Permintaan terhadap produk yang dijualnya semakin hari semakin mendapat sambutan menggalakkan. Biarpun tidak menjadikannya kaya, namun keuntungannya dapatlah digunakan untuk menampung keperluan hariannya.
Melihat usahanya berniaga menjual produk orang lain boleh mendatangkan keuntungan, terdetik di hatinya untuk cuba mengeluarkan produk sendiri dengan harapan produk tersebut boleh menjadi batu loncatan untuk dirinya menjadi jutawan suatu hari nanti.
Maka, di sinilah bermulanya jenama produk penjagaan kulit kepala dan rambut miliknya yang dinamakannya sempena namanya sendiri iaitu Sailajah.
Semasa mula-mula membuka perniagaan sendiri, Sailajah merasakan berniaga adalah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, apatah lagi apabila beliau ada darah peniaga memandangkan ayah dan ibunya juga mempunyai perniagaan sendiri.
“Tapi bila dah ada produk sendiri, barulah saya tahu yang buat bisnes ini tidak semudah yang difikirkan. Dalam sehari tu, saya nak jual satu produk pun terlalu susah. Nak dapat RM100 pun sangat payah,” katanya.
Disebabkan perniagaannya di peringkat awal tidak menguntungkan, Sailajah mula terfikir untuk mencari ilmu perniagaan. Satu hari, seorang rakannya memberitahunya mengenai Datuk Wira. Dr. Azizan Osman yang telah membantu ramai usahawan lain di Malaysia.
“Lepas itu saya terus cari maklumat yang berkaitan dengan Dr. Azizan di Facebook dan internet. Saya juga tengok video-videonya yang percuma sebelum saya sertai program percuma anjuran RichWorks yang dikendalikan oleh Dr. Azizan,” katanya.
Selepas menyertai program percuma itu, beliau begitu teruja untuk terus belajar dan berhasrat menyertai Millionaire Marketing Mastery (MMM), tetapi yuran yang dikenakan agak tinggi dan ketika itu pula beliau tidak ada wang di dalam akaun banknya.
“Tapi saya tak berputus asa. Saya pinjam kad kredit tunang saya dan bagitahu dia yang saya nak masuk kelas MMM dan dia bagi. Dapatlah saya join kelas tu. Tapi disebabkan rasa segan dan takde keyakinan, saya duduk paling belakang,” katanya.
Selepas menghadiri tiga kelas dalam program itu, beliau dapati banyak ilmu yang berjaya diperolehnya. Apa yang mengejutkan, setiap kali beliau mengaplikasi ilmu yang diajar ke dalam perniagaannya, hasil jualan syarikatnya semakin meningkat.
Perkara itu membuatkan Sailajah terus bersemangat menyertai program RichWorks dan beliau kemudiannya mendaftarkan diri untuk menyertai Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK).
“Dengan jujur saya katakan, IMKK lah yang mengubah hidup saya. Bisnes saya semakin maju hasil tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan oleh Dr. Azizan dalam program IMKK. Pada tahun 2016, saya diterima pula menyertai Titanium,” katanya.
Dalam Titanium, lebih banyak ilmu yang beliau pelajari dan program itu juga memberikannya peluang untuk mengenali lebih ramai usahawan berjaya dalam circle Titan, yang tidak putus-putus memberikan nasihat, tips dan sokongan kepadanya.
“Kalau masa saya sertai IMKK, program itu mengubah hidup saya. Tapi bila saya sertai Titanium, hidup saya totally changed (berubah sepenuhnya). Banyak kejayaan dicapai oleh syarikat saya selepas itu dan banyak juga anugerah yang telah diterima,” ujarnya.
Sailajah, Total Beauty For You Sdn Bhd semakin maju apabila kini memiliki tiga buah premis perniagaan yang terletak di Johor, Selangor dan Pulau Pinang.
Sailajah turut membuka peluang kepada golongan suri rumah untuk menjadi ejen agar mereka juga boleh memperoleh pendapatan di samping menguruskan rumah tangga.
Setiap ejen diberikan bimbingan dan latihan agar mereka boleh menjalankan perniagaan dengan pendekatan yang berkualiti dan berkesan. Ketika ini, Sailajah mempunyai lebih kurang 8,000 ejen di seluruh Malaysia.
Dari segi hasil jualan, di antara Januari hingga September 2021, syarikat itu telah mencatatkan perolehan bernilai RM6.7 juta, berbanding hanya RM5.5 juta bagi tempoh yang sama di tahun sebelumnya iaitu tahun 2020.
Berkongsi pengalaman menjalankan perniagaan, wanita cekal ini memberitahu bahawa semua orang perlu mengejar ilmu pengetahuan yang relevan dengan apa yang mereka lakukan, terutama jika mereka mahu menceburi dunia perniagaan.
“Dalam bisnes ini ada banyak competitors. Kalau kita takde ilmu, kita akan ditendang ke belakang. Jangan takut untuk invest bagi mendapatkan ilmu kerana kalau kita mahu bisnes kita maju dan berkembang, kita perlu ada ilmu untuk melakukannya,” katanya.
Menerusi kisah inspirasi Sailajah, ternyata bidang perniagaan menuntut komitmen yang tinggi serta perlu berdepan cabaran yang tidak kurang hebatnya, sebelum boleh mencapai kejayaan.
Di sebalik perjuangannya itu, Sailajah kini menyimpan impian agar suatu hari nanti, syarikatnya dapat pula melebarkan sayap dengan lebih luas iaitu sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Bidang perniagaan memang kompetitif namun dengan adanya semangat dan usaha yang berterusan, tidak mustahil perniagaan yang dijalankan mampu mencapai kejayaan seperti yang diharap-harapkan,” kata beliau.