Tidak semua insan di dunia ini ditakdirkan hidup dalam kemewahan. Namun jika ada kesungguhan dalam diri, apa juga yang diimpikan pasti boleh dijadikan kenyataan. Apa yang penting ialah jangan takut mencuba dan terus kekal berusaha!
Kisah ini ialah tentang pengasas Nurfella Beauty iaitu Nurul Arija Zaidil Maheran, yang pada mulanya hidup dalam keadaan serba kekurangan, malah menumpang di rumah orang!
Namun tekadnya untuk mengubah nasib keluarga berjaya membuatkan Nurul Arija dan keluarganya berganjak dari kehidupan yang susah kepada yang mewah, asalkan ingin berusaha, dan lebih penting lagi, mahu menuntut ilmu!
Dalam cerita kali ini, beliau akan berkongsi kisahnya yang mungkin boleh memberi inspirasi kepada pembaca buku ini.
Menurut Nurul Arija, sebelum menceburi dunia perniagaan, beliau asalnya hanyalah seorang suri rumah yang tidak memiliki pendidikan yang tinggi. Ketika itu segala perbelanjaan dan keperluan keluarganya hanya ditanggung oleh suaminya seorang.
Kehidupan mereka ketika itu sangat susah dan beliau suami isteri serta seorang anak mereka hanya hidup menumpang di sebuah bilik kecil di rumah keluarga. Kesusahan itu semakin terasa apabila anak kedua mereka lahir.
“Saya ini cuma suri rumah dan SPM pun saya tak ada. Apa lagi ijazah untuk saya banggakan? Nak tampung perbelanjaan anak pun saya tak mampu malah kalau nak beli susu anak, terpaksa nak kena pecah tabung.”
“Kesusahan ini buat saya bertanya apa perlu saya lakukan sebab saya memang tak nampak masa depan saya. Saya pula seorang yang tak yakin dengan diri sendiri. Saya cakap dengan suami, kami perlu buat sesuatu. Masa tu suami saya bekerja sebagai buruh dengan gaji hanya antara RM40 hingga RM50 sehari,” ujar beliau lagi.
Pernah satu ketika, beliau sampai merasakan yang dirinya seolah-olah tak guna kerana tak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah nasib keluarga. Situasi itu juga kadang kala memberi kesan kepada rumah tangga mereka suami isteri.
Tetapi suatu hari Nurul Arija merasakan yang dia perlu berbuat sesuatu. Beliau ingin berniaga walaupun ketika itu beliau tidak ada modal dan tidak tahu apakah perniagaan yang boleh dibuat olehnya. Setelah puas berfikir, akhirnya beliau memilih untuk membuat dropship dengan menjual produk orang lain.
“Masa saya buat keputusan untuk jual produk orang, saya tak fikir untung. Bagi saya dapat tambah-tambah sikit duit pun cukuplah. Macam-macam saya jual. Jual skin care, tudung dan produk kesihatan.”
“Bila ada untung sikit, saya akan kumpul untuk dijadikan modal. Bermula sebagai dropshipper, saya kemudiannya menjadi ejen dan seterusnya stokis. Di situ saya sedar, kalau buat bisnes, ia mungkin boleh mengubah hidup kami,” katanya.
Setelah memiliki sedikit duit simpanan yang boleh dijadikan modal, Nurul Arija kemudiannya cuba mengeluarkan produk kecantikan sendiri dan nilai wang yang digunakannya sebagai modal pada masa itu tidak pun sampai RM1000.
Ketika itu juga beliau hanya bermula dari rumah dan semuanya dilakukannya sendiri. Baik mengambil pesanan daripada pelanggan, membuat penghantaran sehingga mengumpul testimoni, semuanya beliau gagahi.
“Masa mula berniaga tu saya langsung takde ilmu perniagaan dan saya bermula dengan mengeluarkan 100 botol produk kecantikan. Tapi Alhamdulillah, walaupun tak banyak mana, tapi masa tu saya dah boleh nampak dan rasa keuntungannya.”
“Hidup kami sekeluarga juga sudah mula selesa. Tapi saya sedar yang saya masih ada banyak kelemahan kerana saya tak tahu cara nak tingkatkan sales, cara urus pelanggan apatah lagi ilmu untuk bina team dan stokis.”
Pada tahun 2020, beliau dengan niat ‘cuba-cuba’ kemudiannya menyertai program Nak Ubah Hidup (NUH) anjuran RichWorks. Ketika itu beliau langsung tidak terfikir yang beliau akan terus bersama dengan syarikat itu sehingga sekarang.
“Di peringkat awal tu saya tak berminat pun nak join RichWorks. Tapi bila tengok pencapaian mereka yang belajar di situ, saya jadi kagum. Masa tu ada seorang usahawan yang tak boleh menulis dan membaca, tetapi mampu meraih jutaan ringgit,” kata beliau.
Meskipun pada waktu itu beliau agak teruja dan terinspirasi melihat kejayaan usahawan lain, tetapi beliau masih belum terfikir untuk terus belajar dengan RichWorks.
Namun pada masa yang sama, Nurul Arija juga sudah mula mempraktikkan ilmu yang diperoleh dengan membentuk pasukannya dan menjalankan sistem ejen dan stokis, seperti yang diajar dalam program yang disertainya sebelum itu.
Sehinggalah suatu hari apabila pandemik melanda dunia dan negara. Hampir semua perniagaan ketika itu terjejas, tidak terkecuali perniagaan beliau. Hasil jualan tidak lagi memberangsangkan dan keuntungan perniagaan mula merosot.
“Pada bulan Ogos 2020 selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan oleh kerajaan di awal tahun dan banyak perniagaan terjejas, seorang ejen saya yang setia dan rapat datang berjumpa saya.”
“Beliau kata saya perlu lakukan sesuatu dan tidak hanya bergantung dengan situasi semasa kerana jika itu yang saya lakukan, perniagaan yang saya usahakan tidak akan mampu untuk berkembang.”
“Setelah memikirkan saranan daripadanya, di situlah saya bertekad yang saya perlu belajar bagaimana untuk terus bertahan dan maju walaupun di musim pandemik. Saya tidak boleh biarkan pasukan dan ejen saya bersendirian,” katanya.
Nurul Arija kemudiannya memohon menyertai program Titanium dan beliau diterima. Melalui program itu beliau banyak menerima ilmu-ilmu baharu, nasihat, teguran serta tips, yang boleh membantunya memajukan perniagaan yang dijalankan.
“Lepas saya diterima masuk ke dalam program Titanium, banyak yang saya belajar. Dan saya terkejut kerana banyak juga ilmu perniagaan yang saya masih belum terokai dan saya tidak tahu.”
“Dalam program itu, kami dibimbing cara mendepani pandemik dan strategi yang untuk memastikan perniagaan terus berkembang. Kami diajar tentang leadership. Begitu juga bagaimana untuk melakukan pemasaran dengan berkesan,” katanya.
Paling bermakna katanya ialah kewujudan circle Titan yang terdiri daripada golongan usahawan berpengalaman turut saling berkongsi ilmu dan pengalaman mereka. Hal itu membuatnya lebih bersemangat dan kreatif dalam menguruskan perniagaannya.
Hasil daripada ilmu yang dipelajari dan diamalkan, dalam tempoh 10 bulan sahaja, jualan syarikatnya mencecah sehingga RM7 juta! Paling menggembirakan, beliau juga berjaya membina sebuah rumah banglo di kampung halamannya di Kelantan.
Hari ini, Nurul Arija dan team Nurfella menikmati pendapatan selesa hasil dari peningkatan luar biasa jualan mereka. Bagi Nurfella, antara impian yang tercapai ialah terbinanya rumah banglo yang selesa di Kelantan untuk keluarga tersayang.